Ticker

6/recent/ticker-posts

TOT SMART ITQAN TINGKATKAN KOMPETENSI PEGAWAI TANGANI PEKERJA BERISIKO

Kredit foto: ILDAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 18 Oktober 2024 – Bagi memperkasa pegawai dalam menangani pekerja berisiko serta meningkatkan kemahiran kepimpinan dan bimbingan profesional berlandaskan model Imam al-Ghazali, Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) menganjurkan Kursus Kejurulatihan (ToT) Modul Smart Itqan.

Program itu dijayakan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) dan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

Seramai 40 peserta daripada pelbagai agensi, termasuk pegawai psikologi, wakil Urus Setia Kerajaan Negeri dan Ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) BPSM telah menyertainya di Dewan Seminar Mabna pada 16 hingga 17 Oktober.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah ILDAN Borhanuddin Ahmad berkata kursus tersebut diharap dapat membentuk budaya kerja yang lebih selamat, positif dan berintegriti dalam kalangan penjawat awam.

Menurutnya, kursus itu bertujuan untuk menentukan kriteria dan isi kandungan Modul Smart Itqan dalam usaha meningkatkan kompetensi serta membina budaya kerja yang lebih baik dalam kalangan pekerja berisiko.

“Ia juga membangunkan dan menilai kebolehgunaan Modul Smart Itqan bagi tujuan tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan modul yang diperkenalkan turut merangkumi elemen-elemen penting yang dapat membantu para pegawai dalam menghadapi cabaran di tempat kerja serta memperkukuh nilai kepimpinan mereka.

Kursus kendalian panel daripada UPSI yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing itu memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan sembilan submodul utama yang dibentangkan.

Antara panel terlibat ialah Prof. Madya Dr. Md Noor Saper, Prof. Madya Dr. Nurul Ain Mohd Daud, Prof. Dr. Ahmad Jazimin Jusoh, Ts. Dr. Mohd Ridhuan Mohd Jamil dan Dr. Sayyidatina Che Rozubi.

Turut berkongsi ilmu dalam sesi interaktif ialah Dr. Wan Nurul Izza Wan Hussin, Taquddin Abd Mukti dan Mohamad Saifuddin Ab Shatar.




Post a Comment

0 Comments