Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 6 November - Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara holistik hendaklah dipupuk dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat umum di Kelantan berteraskan penghayatan prinsip Ubu'diyyah, Mas'uliyyah dan Itqan (UMI).
Katanya, sambutan Hari Integriti di Negeri Kelantan bermula sejak tahun 2005 yang bertujuan untuk membudayakan integriti sebagai cara hidup dan amalan masyarakat Malaysia ke arah pemantapan etika dan integriti secara menyeluruh.
Bertemakan “Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi” bagi sambutan pada tahun ini, beliau berharap para penjawat awam Kelantan dapat mengangkat martabat tanah air dan negeri kita seiring dengan jati diri, akhlak dan sahsiah Muslim yang kekal teguh dengan amalan integriti pada setiap masa dan keadaan.
“Rekod kita di negeri Kelantan yang sifar rasuah dan penyelewengan sejak pentadbiran Membangun Bersama Islam mestilah dikekalkan. Kita hendaklah sedar Integriti bukan hanya soal rasuah dan penyelewangan tetapi melibatkan etika dan disiplin sebagai penjawat awam. Sekiranya berlaku dalam kalangan segelintir penjawat awam, tempiasnya tetap terkena keseluruhan sektor kerajaan.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti Negeri Kelantan 2024 di Dewan Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berpesan bahawa kesedaran terhadap pengawasan Allah SWT melalui dua malaikat sebagai pencatat segala perbuatan memadai untuk menginsafkan kita agar sentiasa berwaspada dalam setiap tindak-tanduk termasuk dalam urus tadbir di pejabat. Sekali gus menyuburkan integriti di dalam diri dengan sempurna.
Beliau juga bersyukur dan menyifatkan sambutan majlis hari ini dan Sambutan Pentadbiran Membangun Bersama Islam Kali ke-34 yang diraikan semalam, amat bermakna kerana kerajaan negeri yang dibina pada tahun 1990 itu dipasakkan dengan asas yang kukuh dan utuh iaitu ’Membangun Bersama Islam’.
Menurutnya, dasar tersebut telah berjaya membuktikan nilai integriti itu dilaksanakan dan diamalkan oleh seluruh saf kepimpinan dan penjawat awam termasuk lantikan politik.
0 Comments