Oleh: Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 6 November - Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa mengalu-alukan mana-mana universiti atau institusi yang berminat untuk menjalankan penyelidikan tentang cara melindungi bunga Rafflesia serta ekosistem di sekelilingnya di negeri ini.
“Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan destinasi alam semula jadi seperti hutan hujan dan sungai, masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan siapa sangka, Rafflesia memberikan pelbagai manfaat kepada kita semua.
"Saya pasti dan percaya bahawa kita perlu mengekalkan keseimbangannya, justeru tema “Harmoni dengan Rafflesia: Mengimbangi Pemuliharaan dan Pelancongan di Kelantan, sangat selaras dengan objektif kongres ini,” ujar Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kelantan International Congress of Rafflesia di sebuah hotel di sini semalam.
Penganjuran kongres antarabangsa anjuran Unit Perancang Ekonomi Kelantan (UPEN) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu menunjukkan komitmen yang tinggi kerajaan negeri memelihara dan memulihara khazanah alam yang semakin pupus seperti Rafflesia.
Kerajaan Negeri Kelantan telah mewartakan kawasan seluas 400 hektar di Lojing, Gua Musang untuk tujuan pemuliharaan pada tahun 2011.
Pada tahun 2022, kerajaan negeri telah melancarkan kawasan tersebut sebagai Taman Pemuliharaan Rafflesia dan semakin mendapat perhatian dari masyarakat seluruh dunia, sekali gus dapat merangsang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri terutamanya dalam bidang ekopelancongan.
Terdapat tiga spesies Rafflesia di kawasan tersebut, iaitu Rafflesia kerrii, Rafflesia kedua terbesar di dunia, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia sumeiae.
Kongres yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri pakar dan ilmuan dari Universiti Oxford, United Kingdom, University of Canterbury, New Zealand, University of the Philippines Los Banos, Universitas Bengkulu, Indonesia, Chulalongkorn University, Thailand dan pensyarah dari universiti serta agensi tempatan yang berkaitan.
0 Comments