Ticker

6/recent/ticker-posts

EMPAT LANGKAH MEMPROMOSI KIAS DI PERINGKAT ANTARABANGSA – EXCO PENDIDIKAN TINGGI

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 27 November – Promosi kemasukan pelajar ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) terus diperkukuh untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melalui pelbagai pendekatan strategik.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan bahawa beberapa inisiatif telah dirangka bagi menjadikan KIAS sebagai pilihan utama pelajar luar negara.

Menjawab soalan ADN Pasir Tumboh, YB Dato’ Abdul Rahman Yunus yang bertanya mengenai usaha kerajaan dalam mempromosikan KIAS di peringkat antarabangsa, Dato’ Wan Roslan menyatakan langkah pertama yang diambil oleh KIAS ialah mengadakan promosi langsung di sekolah-sekolah terpilih di Thailand, Kemboja, Indonesia dan Singapura.

ADN Pasir Tumboh, YB Dato’ Abdul Rahman Yunus

Katanya, melalui pendekatan tersebut, taklimat khas akan diberikan kepada pelajar-pelajar sasaran, dengan harapan dapat menarik minat mereka menyambung pengajian di KIAS.

Langkah kedua, bagi memudahkan usaha promosi dan mendapatkan tajaan biasiswa bagi pelajar antarabangsa yang berpotensi, KIAS berusaha menjalin hubungan rasmi dengan organisasi, yayasan, NGO, dan institut pengajian tinggi di negara-negara sasaran.

Seterusnya, kerajaan negeri turut memeterai persefahaman dengan beberapa institusi terkemuka seperti Japan Dakwah Centre, Osaka, Jepun, yang menyediakan pendedahan industri dakwah kepada golongan bukan Muslim.

“Selain itu, kerjasama dengan Jinan University, Guangzhou, akan diperkukuhkan untuk menawarkan program pengajian Bahasa Mandarin. Penempatan pelajar di Ez-Zitouna University, Tunisia, juga merupakan salah satu langkah penting bagi meningkatkan reputasi akademik KIAS di peringkat antarabangsa,” jelasnya dalam Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15, tahun 2024, hari kelima, hari ini.

Dalam usaha menarik pelajar cemerlang, KIAS mengambil langkah keempat dengan menawarkan insentif menarik seperti penghapusan yuran pengajian bagi pelajar dengan pencapaian akademik tertinggi dan pemotongan yuran mengikut tahap pencapaian pelajar.

Beliau berharap insentif tersebut dapat merangsang minat pelajar antarabangsa untuk memilih KIAS sebagai destinasi pengajian mereka yang bakal melahirkan graduan cemerlang dan berperanan sebagai duta Islam sejagat.

Post a Comment

0 Comments