Ticker

6/recent/ticker-posts

KEHADIRAN PELANCONG KE KELANTAN MENINGKAT KETARA 75 PERATUS

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

KOTA DARULNAIM, 25 November – Kelantan mencatat peningkatan ketara kehadiran pelancong sepanjang tahun ini, memberi petanda positif terhadap kejayaan Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024).

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata walaupun angka rasmi belum dimuktamadkan, pelbagai indikator menunjukkan lonjakan kemasukan pelancong melebihi 75 peratus.

Jelasnya, data daripada Malaysian Association of Hotels (MAH), pintu masuk sempadan, dan lapangan terbang mengukuhkan lagi gambaran peningkatan itu.

“Mengikut MAH, hanya diperlukan 45 peratus untuk membuktikan peningkatan ketara pelancong ke sesuatu destinasi. Angka yang kita capai sekarang jelas melangkaui jangkaan, dan itu baru dari data penginapan di hotel. Masih ada yang memilih inap desa atau penginapan alternatif lain,” katanya dalam Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2024, hari ini.

Beliau juga memaklumkan perkembangan positif dalam kerjasama dengan ejen pelancongan, yang kini melibatkan 55 ejen berbanding hanya lima sebelumnya.

"Peningkatan jumlah pelancong turut memberi impak langsung kepada ekonomi tempatan, terutamanya kepada para peniaga kecil," ujarnya yang turut berkongsi pemerhatian terhadap kegiatan ekonomi di Pasar Siti Khadijah yang menjadi mercu tanda pelancongan negeri ini.

“Tabiat orang Kelantan unik. Walaupun mereka cenderung merendah diri bila ditanya tentang perniagaan, realitinya, pasar ini menjadi tumpuan pembeli bukan sahaja untuk barangan keperluan harian tetapi juga emas. Ini menunjukkan rakyat Kelantan berkemampuan dan ekonomi mereka berkembang selaras dengan peningkatan pelancong,” katanya.

Dengan kemajuan ini, Kelantan optimis untuk terus mengekalkan momentum TMK2024 sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan.

Post a Comment

0 Comments