Ticker

6/recent/ticker-posts

PERUNTUKAN RM10 RIBU SETAHUN PER DUN, NASIB NELAYAN DARAT TIDAK DIPINGGIR – EXCO INDUSTRI AGRO MAKANAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 25 November – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmennya untuk tidak meminggirkan nasib nelayan darat yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan ikan di sungai dan kawasan tasik.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM10,000 setahun untuk setiap DUN bagi membantu nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Kelantan.

“Nelayan darat yang berdaftar boleh memohon bantuan ini untuk membeli peralatan menangkap ikan seperti pukat, kail, jala, bubu dan pelbagai peralatan lain yang diperlukan,” ujar beliau ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Manik Urai, YB Mohd Fauzi Abdullah, di Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Negeri Kelantan yang Ke-15, hari ini.

Mengulas lanjut, Dato' Tuan Mohd Saripudin menguar-uarkan, nelayan darat juga boleh memohon bantuan melalui peruntukan Pembangunan Nelayan Darat yang disediakan oleh Jabatan Perikanan Negeri Kelantan serta melalui portfolio beliau sebagai Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi.

Namun beliau menegaskan,  para nelayan yang ingin memohon bantuan mesti memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu mereka perlu turun ke sungai sekurang-kurangnya lima hari seminggu dan hasil tangkapan mereka harus dijual, bukannya untuk kegunaan sendiri semata-mata.

“Bantuan ini diberikan dengan tujuan untuk memperkasa ekonomi nelayan darat serta memastikan mereka dapat terus menyumbang kepada ekonomi tempatan,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments