Ticker

6/recent/ticker-posts

LANGKAH PROAKTIF AKSB TANGANI ISU NRW

Oleh: Norzana Razaly

KOTA  DARULNAIM, 25 November – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terus memperhebatkan usaha mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water - NRW) di Kelantan melalui pelbagai langkah proaktif.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Dr. Izani Husin memaklumkan isu NRW boleh dibahagikan kepada dua punca utama iaitu kehilangan fizikal dan kehilangan komersial.

Menurutnya, kehilangan fizikal melibatkan kebocoran paip, tangki, serta meter pengguna, manakala kehilangan komersial berpunca daripada kecurian air dan kesilapan dalam sistem pengebilan.

AKSB telah melaksanakan pelbagai tindakan untuk menangani masalah kehilangan fizikal, antaranya ialah Penukaran Paip Lama melibatkan paip asbestos cement (AC) diganti dengan paip jenis high density polyethylene (HDPE), polyvinyl chloride (PVC), dan besi (MSCL) menggunakan dana dalaman dan bantuan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Langkah berikutnya pula ialah pencarian dan pembaikan kebocoran oleh pasukan khas AKSB yang menjalankan pencarian kebocoran aktif menggunakan peralatan canggih yang baru dibeli.

Diikuti penubuhan Pasukan Khas di Peringkat Jajahan yang berperanan bersama pembaca meter dalam mengenal pasti dan menangani kebocoran dengan lebih cepat.

Sistem Pemantauan Limpahan Air juga dipasang di semua tangki air di Kelantan untuk mengelakkan limpahan yang tidak terkawal.

Beliau menjelaskan terperinci semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok, YB Zuraidin Abdullah, dalam Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ketiga, hari ini.

Manakala bagi menangani kehilangan komersial pula Dato’ Dr. Izani menjelaskan beberapa langkah utama telah diambil seperti penukaran meter pengguna yang berusia lebih 10 tahun atau bermasalah diganti bagi memastikan bacaan yang lebih tepat.

Di samping itu, sistem pengebilan turut dikemas kini untuk mengurangkan kesilapan dalam bacaan meter dan pasukan penguatkuasa juga ditubuhkan untuk menangani isu kecurian air di seluruh negeri.

Post a Comment

0 Comments