Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN MENUJU SIFAR SAMPAH: KERJASAMA STRATEGIK MDGM-MAFIQ GLOBAL DIMETERAI

Oleh Norzana Razaly

KOTA BHARU, 22 November – Kelantan melakar sejarah baharu dalam usaha mencapai sifar bahan buangan ke tapak pelupusan sampah melalui kerjasama strategik di antara Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan Mafiq Global Sdn. Bhd.

Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai dalam satu majlis rasmi di sebuah hotel di sini pada Khamis.

MDGM diwakili oleh Yang Dipertua, Nik Raisnan Nik Daud, manakala Mafiq Global diwakili oleh Pengarah Urusannya, Muhammad Afiq Alias dan disaksikan Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. (KUM), Dr. Mohd. Roshdi Hassan.

Menurut Dr Mohd Roshdi, kerjasama tersebut melibatkan pelaksanaan teknologi pemprosesan sisa domestik kepada bahan api terbitan (Refuse Derived Fuel - RDF) yang bakal dilaksanakan di Gua Musang.

"Projek ini dijangka mampu menghasilkan 50 tan RDF sehari, yang membantu mengurangkan sisa buangan ke tapak pelupusan. Ia juga membuka peluang pekerjaan baharu untuk penduduk tempatan."

“Projek ini juga adalah langkah penting untuk menyokong sektor tenaga boleh diperbaharui serta mendokong inisiatif pembangunan lestari yang seiring dengan aspirasi negara,” katanya.

Tambahnya, teknologi yang bakal digunakan telah terbukti keberkesanannya di negara maju seperti Eropah, selain di negara jiran, Indonesia, yang berjaya menghasilkan lebih 60 tan RDF sehari.

Kerjasama itu juga mencerminkan komitmen Kelantan untuk menerajui transformasi hijau dengan memanfaatkan teknologi moden bagi melestarikan alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Post a Comment

0 Comments