Exco redah asap temui mangsa kebakaran

 
KOTA BHARU: Biarpun dalam keadaan bertongkat anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Izani Husin meredah asap ketika melawat lokasi kejadian kebakaran di Kampung Gok Kapur dekat sini hari ini.

Kebakaran dilaporkan bermula jam 12.30 petang yang melibatkan 130 mangsa.

Dr Izani berkata, beliau datang meninjau lokasi kejadian dan bertemu dengan mangsa-mangsa yang terlibat.

“Wajah-wajah mereka masih terkejut dan pilu benar-benar menyentuh hati. Dalam sekelip mata mereka kehilangan tempat berteduh dan harta benda.

“Bagi membantu meringankan beban mangsa, kita membuka Tabung Kecemasan Kebakaran Gok Kapor dengan segera. Saya menyeru kepada semua yang berkemampuan agar menghulurkan sumbangan,” katanya pada catatan di laman sosialnya.  

Menurut laporan media Komander Operasi, Penguakuasa Bomba Kanan II, Khairul Arifin Che Ramli berkata, sebanyak 15 rumah penduduk terbakar di kawasan tersebut.

Katanya, kedudukan rumah kayu terlalu rapat menyebabkan api mudah merebak.

“Bagaimanapun tindakan pantas Bomba dapat menyelamatkan lebih 10 rumah di kawasan sekitar daripada terbakar,” katanya.

Dr Izani juga berkata, sebagai orang beriman diyakini setiap ujian yang Allah turunkan pasti ada hikmahnya.

“Saya berpesan kepada mereka agar terus kuat menghadapi dugaan ini dan jangan berasa keseorangan kerana ramai yang bersedia menghulurkan bantuan,” ujarnya.

Sementara itu Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud memberitahu beliau mendapat khabar ujian yang menimpa penduduk Kampung Gok Kapor ketika tiba di KLIA petang tadi.

Katanya, dalam sekelip mata, kediaman yang menjadi tempat berteduh penduduk musnah dijilat api.

“Kesedihan tersebut bukan hanya dirasai mangsa, bahkan turut dirasai seluruh rakyat Kelantan. Alhamdulillah, tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

“Keutamaan sekarang memastikan setiap mangsa mendapat perlindungan, bantuan dan sokongan yang sewajarnya.

“Saya yakin Dato’ Dr Izani bersama agensi-agensi berkaitan akan terus memantau keadaan serta menyelaras bantuan agar kebajikan mangsa sentiasa terpelihara dan proses pemulihan dapat dipercepatkan,” katanya.

Menteri Besar turut merakam penghargaan kepada anggota Bomba dan Penyelamat, pihak masjid, sukarelawan dan orang ramai yang menghulurkan bantuan.

 

Post a Comment

0 Comments