Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 26 November – Kerajaan Negeri Kelantan bersedia untuk menambah bilangan penerima bantuan Skim Beras al-It'am secara berperingkat, khususnya kepada masyarakat orang asli.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata sejak skim tersebut diperkenalkan pada tahun 2011, sebanyak tiga kali penambahan penerima telah dilakukan.
"Pada tahun 2011, 180 penerima di setiap Dewan Negeri (DUN) menerima bantuan, diikuti dengan 250 penerima pada tahun 2013, dan 300 penerima pada tahun 2020. Skim al-It'am ini masih relevan dengan moto Kerajaan Negeri Kelantan sebagai negeri berkebajikan, untuk membantu rakyat yang memerlukan." jelasnya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Manik Urai, YB Mohd Fauzi Abdullah, dalam Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15, pada hari keempat, hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada ADN Manik Urai yang bertanya mengenai perancangan kerajaan untuk menambahbaik skim al-It'am pada tahun hadapan, YB Dato' Mohd Saripudin memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sedang dalam proses menyediakan modul pembangunan insan "Bertani Satu Ibadat".
"Modul ini akan diterapkan kepada semua penerima bantuan melalui Pusat Khidmat DUN. Ia bertujuan untuk menjadikan penerima beras al-It'am sebagai insan yang bertaqwa selaras dengan konsep Komuniti Rabbani (K-RABB) Kerajaan Negeri Kelantan", ujarnya.
Tambahnya, penambahan penerima skim bantuan itu diharapkan dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada golongan yang memerlukan, terutamanya bagi masyarakat orang asli di Kelantan.
0 Comments