Oleh: Saliemin Khesa Ahmad
KOTA DARULNAIM, 26 November - Kerajaan Negeri Kelantan terus berusaha memperkukuhkan nilai budaya dan komuniti berpendidikan bukan sahaja dalam konteks agama, Kerajaan Negeri Kelantan merancang untuk memanfaatkan media massa sebagai platform utama mempromosikan Program Budaya Komuniti Rabbani (K-Rabb) dalam usaha merealisasikan Kelantan Melangkah Ke Hadapan melalui inisiatif digitalisasi.
Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato' Hassan berkata, perancangan tersebut merupakan antara usaha jangka masa panjang pihaknya dalam memperkukuhkan dan menerapkan nilai-nilai K-Rabb dalam kalangan masyarakat di negeri itu terutamanya kepada generasi muda.
"Secara amnya ia adalah untuk mempromosikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan K-Rabb yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.
"Kita akan mengadakan kempen media Rabbani, laman web, aplikasi-aplikasi media sosial khas, video-video kreatif, dokumentari, artikel serta e-book.
"Lepas itu, kita juga akan adakan program-program tahunan di seluruh negeri Kelantan dalam memperkukuh program-progam di bawah K-Rabb ini," katanya pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2024, hari keempat, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pelaksanaan program-program itu bukan hanya melibatkan pihak urus setia kerajaan negeri, malah juga penyertaan daripada agensi-agensi kerajaan persekutuan yang berkaitan bagi memperluaskan kefahaman berkaitan K-Rabb di Kelantan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Temangan itu berkata, dalam usaha memastikan keberkesanan pelaksaan tersebut pihaknya akan mengadakan penilaian terhadap program-program yang bakal dilaksanakan supaya dapat memberikan manfaat kepada seluruh rakyat negeri itu.
"Memang, buat permulaan akan ada kelemahan-kelemahan yang sangat ketara dan nyata. Sebab itulah kita akan adakan satu penilaian daripada semasa ke semasa," katanya.
0 Comments