Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN MARTABATKAN SENI BUDAYA, SUKAN TRADISIONAL DI MATA DUNIA

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 26 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus berusaha memartabat kesenian dan kebudayaan negeri, termasuk sukan tradisional di mata dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, YB Datuk Kamaruddin Md Nor memaklumkan Kerajaan Negeri Kelantan bersama Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKN) aktif mempromosi sukan tradisi seperti Sepak Raga Bulatan, permainan wau dan gasing, pertandingan perahu dan pelbagai lagi seni tradisi yang lain untuk menghidupkan kembali tradisi lama dan mengukuhkan identiti budaya Kelantan sebagai warisan bangsa.

Menurutnya, antara pencapaian besar dalam usaha tersebut ialah penganjuran Hari Songket Malaysia di Kedutaan Malaysia di Washington, Amerika Syarikat pada 11 hingga 25 Oktober 2024.

“Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, yang mencemar duli untuk memperkenalkan seni tenunan songket Kelantan ke peringkat antarabangsa.

"Acara ini mendapat sambutan luar biasa. Martabat songket dijulang sebagai simbol keindahan seni warisan Malaysia,” katanya dalam ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (AND) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal Ke-15 hari keempat, hari ini.

Selain itu, katanya, satu lagi usaha inovatif untuk mempromosikan budaya Kelantan ialah penggambaran iklan khas bersama media Los Angeles pada 8 Oktober 2024 di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar.

Motif iklan tersebut ialah mempersembahkan seni budaya unik Kelantan seperti Gasing Terbang, Silat, Wau, dan Wayang Kulit yang dijangka ditayangkan oleh media Los Angeles pada tahun 2025.

Post a Comment

0 Comments