KOTA BHARU: Malaysia Executive and Technocrats Allience (METRA) menyifatkan sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipimpin figura yang mahir tentang bola sepak dan mempunyai kualiti kepimpinan.
Pengerusi METRA, Ir Ariffahmi Ab Rahman berkata, Tengku Mahkota Johor (TMJ) dianggap sebagai tokoh terbaik untuk melakar semula sejarah kegemilangan bola sepak negara.
Katanya TMJ menunjukkan rekod kemampuan mengelola kelab bola sepak sehingga membolehkan JDT mencipta nama di peringkat negara dan antarabangsa.
"Sebagai salah seorang ultras, saya menyokong usaha itu menjadi kenyataan demi masa depan bola sepak Malaysia," katanya di sini.
Baru-baru ini bekas jurulatih Harimau Malaya Wan Jamak Wan Hassan Wan Jamak dilapor berkata, Tunku Ismail layak membimbing FAM dan skuad negara bagi membawa perubahan kepada Harimau Malaya.
Ir Ariffahmi juga berkata, sekiranya disorot prestasi Harimau Malaya sebelum ini, skuad negara masih belum mencapai kualiti yang diimpikan di peringkat Asia.
Menurutnya juga skuad negara terkandas di peringkat kumpulan Piala Asia dan dianggap tidak mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Kata beliau kelemahan tertumpu kemahiran pemain, strategi dan ‘game plan’ yang kurang tepat, saiz badan pemain agak kecil serta kegugupan pemain sehingga gagal menguasai permainan.
"Ini semua perlu seseorang yang menyediakan kepimpinan (provide leadership) dari peringkat akar umbi. Sudah tentu ia bukan kerja yang senang," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan Harimau Malaya sudah membuat lonjakan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini selepas jurulatih Kim Pang Gon mengendalikan skuad terbabit.
0 Comments