oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 11 November - Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa kawalan hiburan di negeri ini tidak seharusnya dilihat sebagai punca segelintir anak muda memilih untuk mencari hiburan di Golok, Thailand seperti dakwaan sesetengah masyarakat.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud menjelaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka terhadap hiburan selagi ia terkawal.
"Kita tidak menghalang hiburan, malah sudah menetapkan garis panduan terbaik untuk memastikan aktiviti hiburan tetap berlandaskan nilai yang sesuai di Kelantan," katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian, semalam.
Menurut beliau, beberapa penduduk tempatan juga memberi sokongan terhadap usaha kerajaan negeri dalam mengawal hiburan.
“Ada rakyat yang menegur kami agar memperketatkan lagi kawalan hiburan kerana mereka ingin suasana yang lebih harmoni dan terjaga,” tambahnya.
Beliau menekankan faktor kedekatan dan kos yang rendah di Thailand mungkin menjadi tarikan kepada sesetengah anak muda untuk berhibur di sana, bukan kerana sekatan di Kelantan.
"Anak muda memilih untuk ke negara jiran mungkin atas faktor tarikan murah, dekat serta bebas daripada penguatkuasaan,” katanya ketika mengulas laporan tentang anak muda Kelantan yang sering ke Golok untuk berhibur.
Menyentuh tentang tindakan susulan, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perjalanan individu, namun menaruh harapan agar dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diterapkan selama 34 tahun mampu menjadi benteng untuk memupuk kesedaran.
“Kami yakin, individu yang melakukan perbuatan terlarang itu bukan daripada mereka yang dekat dengan didikan agama. Mereka yang aktif dalam program kerajaan negeri dan komuniti keagamaan biasanya memiliki benteng diri yang kukuh,” jelas beliau lagi.
Kelantan menurutnya, kekal komited menyediakan pendidikan agama yang kukuh sejak awal persekolahan, sebagai satu pilihan yang memupuk keperibadian dan daya tahan moral anak-anak muda.
“Melalui pendidikan agama sejak sekolah menengah dan aliran tahfiz, kita berharap dapat melahirkan generasi yang mampu membuat keputusan baik dan menjauhi aktiviti yang tidak berfaedah,” ujarnya.
0 Comments