Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 24 November – Ahli Dewan Negeri (ADN) Melor, YB Wan Rohimi Wan Daud, hari ini menangkis dakwaan ADN Galas, YB Mohd Syahbudin Hashim, yang mengkritik peruntukan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam perbahasan Belanjawan Negeri 2024.
YB Wan Rohimi menegaskan bahawa peruntukan untuk YIK dalam tempoh tiga tahun adalah termasuk belanja mengurus yang mencakupi pelbagai aspek pendidikan dan kebajikan, dan ia adalah langkah yang amat penting bagi memastikan kelangsungan pendidikan berkualiti di negeri ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa dakwaan YB Mohd Syahbudin yang dianggap kurang cermat itu tidak berdasarkan fakta sebenar, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Sebaliknya, Timbalan Exco Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang itu membangkitkan kebimbangan mengenai pengurangan peruntukan oleh kerajaan persekutuan terhadap Kelantan.
"Pada tahun 2023, kerajaan Persekutuan hanya memberikan peruntukan sebanyak RM319.58 juta, satu penurunan ketara sebanyak RM129.96 juta berbanding RM449.54 juta pada tahun 2022," ujarnya ketika sesi Perbahasan Belanjawan Negeri Kelantan 2024 pada hari kedua Persidangan Kali Ketiga bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
Penurunan itu, menurut beliau, menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak diberi peruntukan yang sewajarnya, yang sekali gus memberi impak kepada pembangunan Kelantan.
0 Comments