KOTA BHARU: Biar pun pada peringkat awal ada pihak bimbang, namun Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap tegas melaksanakan polisi Islam dalam pentadbiran kerajaan.
“Pada peringkat awal mentadbir kerajaan negeri, Tok Guru begitu tegas melaksanakan dasar-dasar Islam biar pun nampak agak lembut.
“Tok Guru berani mengharamkan perkara yang didapati bercanggah dengan agama,” kata Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah pada slot Sisi Pandang secara langsung melalui Facebook Legasi Tok Guru hari ini.
Beliau mengupas tajuk Khalifah Ar-Rasyidin: Politik dan Pentadbiran Siri 1 yang dikendalikan pegawai Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) Fathi Yusoff.
Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan berkata, seseorang pemimpin perlu mempunyai perancangan apa yang hendak dibuat selepas dilantik sebagai ketua kerajaan.
Kata beliau dalam sejarah Islam Khalifah Abu Bakar juga seorang pemimpin yang berani membuat keputusan dan tegas dalam tindakannya.
“Ketegasan Abu Bakar selepas dilantik sebagai Khalifah berjaya mengelakkan kaum-kaum yang tinggal di negara Islam bertelagah.
“Abu Bakar mengambil langkah mengatasi kekecohan yang tercetus setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW. Kekecohan itu mengancam perpaduan dan keselamatan penduduk Islam di sekitar Jazirah Arab,” katanya.
Mohd Amar berkata, hasil ketegasan itu pentadbiran negara ketika era pemerintahan Khalifah Abu Bakar begitu stabil.
Menurutnya juga ketika era Khalifah Abu Bakar, Saiyidina Omar mencadangkan khalifah perlu dibayar gaji daripada dana baitulmal.
“Ini kerana pada hari kedua selepas dilantik sebagai khalifah, Abu Bakar keluar untuk membuka kedainya bagi menyara kehidupan keluarga.
“Kata Omar, khalifah tidak boleh berniaga, maka beliau mencadangkan diambil duit daripada baitulmal untuk membayar gaji khalifah, bayaran dibuat ikut tahunan.
“Bermula dari situlah sistem gaji muncul dalam sistem Islam. Malah Abu Bakar lantik Saiyidina Omar sebagai penasihat kerajaan,” katanya.
0 Comments