Kredit Foto FB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Hj Mohd Nassuruddin Haji Daud |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 29 Disember – Kunjungan hormat Timbalan Rektor Universiti Zaitunah, Tunisia Profesor Dr. Mohamad Hussin al-Rizqi ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan telah membuka ruang strategik untuk muzakarah pendidikan Islam antara institusi terulung dunia itu dan Kerajaan Negeri Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan pertemuan pada Jumaat lalu memberi fokus kepada pengukuhan hubungan dua hala bagi melahirkan generasi Rabbani yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.
Katanya, pertemuan tersebut mencerminkan kesungguhan Kelantan dalam merangka masa depan pendidikan Islam yang lebih gemilang dan menyeluruh, sesuai dengan aspirasi negeri sebagai pusat pembangunan generasi Rabbani.
"Universiti Zaitunah memiliki legasi cemerlang dalam tamadun ilmu Islam. Hubungan erat ini diharapkan mampu mencetuskan inisiatif baharu dalam meningkatkan mutu pendidikan dan kemahiran generasi muda Kelantan,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
Dato' Mohd Nassuruddin turut menyatakan harapan agar kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan modal insan dapat direalisasikan demi manfaat pembangunan negeri dan ummah.
Profesor Dr. Mohamad Hussin pula melahirkan komitmen Universiti Zaitunah untuk bekerjasama dengan Kelantan, khususnya dalam memperluas peluang pendidikan dan meningkatkan daya intelektual.
Rekod hubungan erat itu telah diperkuatkan sebelum ini dengan pelanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Islam Sultan Ismail Petra (KIAS), Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Universiti Zaitunah pada 1 Julai lalu.
“Pelanjutan kerjasama ini membuka peluang anak-anak Kelantan lepasan diploma di KIAS dan Pusat Pengajian Pondok YIK untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah di institusi yang melahirkan tokoh ulama seperti Ibni Khaldun,” jelasnya.
0 Comments