
KOTA BHARU:
Kelstone Cosmos Lab menerima kunjungan delegasi dari Bank Negara Malaysia (BNM)
bagi membincang potensi ekonomi dan daya maju komersial aktiviti perlombongan
unsur nadir bumi (REE) di Kelantan.
Cosmos Lab diurus Cosmos Gemilang Perkasa Mineral Sdn Bhd beroperasi di Bandar Baru Tunjong.
Lawatan itu diketuai Ketua BNM Wilayah Kuala Terengganu, Zambre Ismail. Turut serta Mohamad Azrul Azuan Mohd Azman dan Khairul Danial Imran Khairul Nizam dari Regional Economic and Industry Surveillance (REIS), BNM Wilayah Kuala Terengganu.
Rombongan berkenaan diraikan Pengarah Urusan Kumpulan COSMOS, Dato’ Sri Mossco Woo dan pegawai kanan syarikat terbabit.
Kunjungan delegasi BNM bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai aktiviti serta keupayaan makmal berkenaan dalam menyokong pembangunan industri mineral.
Sesi libat urus pula memberi tumpuan kepada model perniagaan Kelstone Cosmos Lab serta sumber pendapatan utama syarikat.
Selain itu perbincangan prospek masa depan industri berkenaan, termasuk rancangan pengembangan, cabaran dihadapi syarikat serta perkembangan industri mineral di peringkat tempatan dan global.
Turut dibincang kesan perkembangan global terhadap sektor mineral termasuk konflik di Timur Tengah serta keadaan dan cabaran pembiayaan yang dihadapi industri.


0 Comments