
KOTA BHARU:
Persiapan menjelang Muktamar PAS Pusat kali ke-72 yang akan diadakan di Pusat
Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa pada 4 dan 5 September ini berjalan
lancar.
Kerja-kerja memasang khemah untuk pameran, bilik media, surau dan pelbagai lagi sedang giat dijalankan oleh petugas dan kontraktor.
Dewan Besar PUTIK yang kini berwajah baharu selepas menjejaki usia 25 tahun. Perubahan ketara pada warna, susun atur pentas dan sistem multimedia.
Kali terakhir PUTIK menjadi pentas muktamar PAS Pusat pada tahun 2020 ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
Ketika itu tidak ramai perwakilan dan pemerhati yang dibenarkan hadir disebabkan pergerakan dihadkan kerajaan bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.
Beberapa bangunan baharu yang menempatkan pejabat pengurusan PUTIK dan rumah tamu hampir siap sepenuhnya.
Hari ini Menteri Besar, Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud meninjau kerja-kerja persiapan yang dijalankan. Hadir sama Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.
Sehari sebelum berlangsung Muktamar PAS Pusat, muktamar peringkat dewan-dewan akan diadakan di sekitar bandar Kota Bharu dan Bachok.
Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-67 akan diadakan di Hotel Grand Riverview pada 2 dan 3 September.
Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-65 pula akan dilangsungkan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre, Kota Bharu pada 3 September.
Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke-66 akan diadakan di luar Kota Bharu iaitu di Kompleks Pendidikan Islam Bachok juga pada 3 September ini.
Pada tarikh sama juga akan diadakan Konvensyen Asabiqun 6.0 di H Elite Design Hotel, Bandar Baru Tunjong.
Manakala Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS kali ke-11 pula akan diadakan di Crown Garden Hotel, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu.
Difahamkan hotel-hotel, rumah tumpangan dan tempat penginapan di sekitar Kota Bharu serta Pengkalan Chepa hampir penuh ditempah perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.
Selain perwakilan, PUTIK juga akan menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong memandangkan pelbagai program diadakan sepanjang muktamar berlangsung.
Ekspo Keusahawanan dan Jualan Penghayatan Membangun Bersama Islam diadakan di tapak ekspo akan bermula 2 September. Pelbagai aktiviti disediakan.
Ekspo tersebut bermula jam 9 pagi sehingga 11 malam. Pada hari pertama akan diadakan Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri Kelantan, pertandingan bbidah, persembahan busking (petang) dan perasmian ekspo pada jam 8.30 malam.
Acara perasmian Ekspo Keusahawanan diserikan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan Hijjaz.
Pada 3 September dijadualkan diadakan pertandingan Pidato Celik, Majlis Mahabah bersama masyarakat Orang Asli, demontrasi Masakan Chef Ustazah dan pentas pemuda pada sebelah malam.
Pada petang 4 September slot bersama pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus di tapak ekspo. Dan jam 9 malam akan diadakan ceramah perdana sempena 75 tahun PAS.
Dan pagi 5 September pula akan dilangsungkan podcast Mek Kelate dan persembahan dikir barat.






0 Comments