Ticker

6/recent/ticker-posts

PEMBINAAN JAMBATAN SEMENTARA TEMALIR SIAP 40 PERATUS

Oleh: Norzana Razaly

KUALA KRAI, 26 Disember - Usaha berterusan Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman, dalam memperjuangkan hak rakyat untuk keselesaan pengguna Jambatan Temalir kini berhasil mencapai status kemajuan semasa pembinaan pada kadar 40 peratus.

Menurut YB Abdul Latiff, kerja-kerja pemasangan cerucuk bagi jambatan sementara sedang giat dijalankan dan bakal menyediakan laluan lebih selamat untuk penduduk setempat.

Projek ini merupakan lanjutan daripada usaha YB Abdul Latiff yang telah memohon kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk membaiki atau membina semula jambatan di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Sebelum ini, jambatan tersebut dibina secara bergotong-royong oleh penduduk dengan menggunakan batang pokok kelapa dan kayu, tetapi mengalami kerosakan teruk akibat banjir besar pada tahun 2014.

Pada 6 Mac 2023, Timbalan Menteri KKDW, YB Datuk Rubiah Wang memaklumkan bahawa projek pembinaan Jambatan Temalir yang menghubungkan Kampung Temalir Lama ke Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Temalir telah diluluskan di bawah program Pembangunan Jambatan Luar Bandar dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta.

“Projek ini melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 80 meter dan jalan tuju sejauh 400 meter mengikut piawaian JKR R2. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2025.

"Pihak KKDW juga akan membaiki struktur asas jambatan (‘kepala’ jambatan) terlebih dahulu untuk memastikan keselamatan pengguna sebelum jambatan baharu siap sepenuhnya,” kata YB Abdul Latiff, ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, pembinaan jambatan baharu menghubungkan Kampung Belanga ke Kampung Temalir, akan bermula Januari 2025.

Beliau turut merakam penghargaan kepada KKDW atas kelulusan projek tersebut dan berharap pembinaan jambatan baharu itu dapat mengakhiri kesulitan yang dihadapi penduduk Kampung Temalir di kawasan Dewan Negeri Manek Urai.

“Kita berterima kasih kepada pihak KKDW dan berharap pembinaan fasiliti ini membawa perubahan positif kepada mobiliti penduduk setempat dan menyumbang kepada pembangunan kawasan luar bandar,” ulasnya.

Dalam perkembangan sama, YB Abdul Latiff turut berkongsi berita gembira berkenaan pelbagai pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar, khususnya di Kuala Krai yang sedang giat dilaksanakan, termasuk menaik taraf jambatan, sistem bekalan air, serta pembinaan jalan dan jambatan baharu.

Katanya, antara projek utama ialah menaik taraf jambatan di RPT Chuchoh Puteri A, Kuala Krai, yang terjejas akibat bencana banjir. Dengan peruntukan sebanyak RM3 juta melalui KESEDAR, projek ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 4,500 penduduk. Pelaksanaan akan bermula pada tahun 2025.

"Projek menaik taraf sistem bekalan air luar bandar (BALB) di Kampung Manek Urai dan kawasan sekitar juga sudah dirancang dengan kos keseluruhan RM70 juta. Projek ini merangkumi pembinaan tangki baharu, rumah pam, dan sistem agihan sejauh 40km yang akan memberi manfaat kepada lebih 6,400 akaun pengguna. Pelaksanaan penuh dijangka selesai menjelang tahun 2026.

"Bagi menyokong aktiviti pelancongan pula, usaha sedang dijalankan untuk menaik taraf Kompleks Gua Ikan di Dabong. Kerajaan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan KESEDAR bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur berkaitan.

"Di samping itu, pembinaan jalan dan jambatan konkrit dari Kampung Enggong ke Kampung Sungai Emas dengan peruntukan RM49.5 juta. Manakala naik taraf jambatan keluli di Kampung Bahagia dengan kos RM5 juta pula dalam peringkat reka bentuk terperinci," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments