Ticker

6/recent/ticker-posts

KERAJAAN JADI PEMUDAH CARA URUSAN RAKYAT, ALLAH PERMUDAHKAN URUSAN KERAJAAN – EXCO PENERANGAN

Oleh: Norzana Razaly

JOHOR, 12 Januari - Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa berusaha mempermudah urusan kebajikan rakyat dengan menjadikannya perbincangan dan keputusan pada setiap kali mesyuarat exco.

Bersandarkan hadis Rasulullah SAW daripada Sahih Muslim: 4867 yang bermaksud, “Sesiapa yang memudahkan urusan orang yang berada dalam kesukaran, maka Allah akan permudahkan urusannya di dunia dan akhirat”, beliau mentaukid kenyataan tersebut.

“Ini keyakinan kita bahawa Allah akan mempermudah urusan kerajaan apabila kerajaan mempermudah hal ehwal rakyat,” katanya dalam majlis Jelajah PMBI Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Warga Kelantan 2024 di Perantauan Zon Selatan di Dewan Serbaguna Taman Scientex, Pasir Gudang, pada Sabtu.

“Boleh dikatakan kita di Kelantan sudah bagi lebih daripada setengah juta ekar (528,429 ekar) tanah kepada rakyat sejak tahun 1990 sampai 2023 dengan 80,972 geran hakmilik. Bayaran premium pula diberi kurang 90 peratus dan dilanjutkan tempoh bayaran hingga bulan tiga (Mac) supaya rakyat pun dapat bantu kerajaan melalui pembayaran cukai tanah, ” jelasnya.

Beliau juga memetik sabda Rasulullah SAW, riwayat Muslim iaitu "Sebaik-baik pemimpin adalah kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka juga mendoakan kamu.”

Kupasan inti pati hadis itu diselarikan dengan agenda kesejahteraan yang menekankan kerajaan dan rakyat saling kasih mengasihi, saling mendoakan dan saling bantu-membantu.

Beliau berterima kasih kepada hampir 600 anak-anak Kelantan Perantauan Zon Selatan yang hadir memeriahkan majlis kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) melalui Unit Hubungan Seranta dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan Perantuan Malaysia (PERAKAN).

Hadirin dihiburkan dengan persembahan dikir barat oleh PERAKAN Kulai.

Program jelajah PMBI siri terakhir bagi tahun 2024 itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Hadir sama menyeri majlis, mantan Menteri Besar YB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan YB Dato' Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Pengarah UPKN Razuan Awang Hamat.



Post a Comment

0 Comments