Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN SAMBUT BAIK KEMPEN TMM2026

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 7 Januari - Dalam usaha menyokong dan memperkukuhkan sektor pelancongan negara, Kelantan yang kaya budaya dan warisan menyambut baik kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa bersedia menyambut pelancong dengan tarikan seperti keindahan destinasi pelancongan, kesenian dan kebudayaan yang unik, serta tarikan alam semula jadi.

“Mari sama-sama kita jayakan kempen TMM2026 dan bangunkan industri pelancongan kita.”

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menghadiri Majlis Peluncuran Kempen TMM2026, pada Isnin.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Bertemakan ‘Malaysia Destinasi Lestari dan Kaya Budaya’, Kempen TMM 2026 memperkenal lagu tema baharu iaitu ‘Surreal Experiences’ serta si beruang madu Wira dan Manja sebagai maskot rasmi.

Sementara itu, media arus perdana melaporkan penegasan Datuk Seri Anwar tentang pentingnya penglibatan semua negeri tanpa ada yang terpinggir dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.

Usaha berkenaan disasarkan untuk meraih keuntungan RM147.1 bilion dengan ketibaan 35.7 juta pelancong.

“TMM 2026 adalah satu pendekatan baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang utama dan ini bermulanya satu inisiatif, ikhtiar supaya betul-betul mencatat pertumbuhan pelancongan ke seluruh negara,” katanya.




Post a Comment

0 Comments