Oleh: Norzana Razaly
Pelancongan gastronomi adalah salah satu segmen yang semakin mendapat perhatian di Kelantan, tanah yang kaya dengan tradisi kulinari dan budaya unik.
Kelantan tidak hanya terkenal dengan destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai syurga makanan tradisional yang menggamit selera pelancong tempatan dan antarabangsa. Salah satu menu istimewa yang sering dinantikan menjelang Ramadan ialah Akok, kuih tradisional yang sinonim dengan identiti negeri Cik Siti Wan Kembang.
Simbol Tradisi dan Keharmonian
Akok juadah eksklusif yang premium kerana ia melambangkan keharmonian rasa dan simbol tradisi turun-temurun masyarakat Kelantan. Dengan bahan asas seperti telur, santan, gula melaka, dan tepung badam (kini diganti dengan tepung gandum), Akok diadun dan dibakar dengan cara tradisional untuk menghasilkan tekstur lembut berkaramel dan aroma wangi yang memikat.
Justeru dalam setiap kepingan Akok yang lazat itu sebenarnya menyampaikan kisah budaya dan sejarah yang tersirat, pada tahun 2023, Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan yang diterajui oleh YB Datuk Kamarudin Md Nor telah memperkenalkan siri dokudrama gastronomi yang bertujuan mempromosi makanan tradisional Kelantan.
Setelah berjaya menerbitkan drama dokumentari (dokudrama) Puteri Mandi, Lompat Tikam, Jeruk Maman, Tapai dan Ketupat Sotong Mengambang, hari ini episod keenam dalam siri tersebut, berjudul "Akok, Amalan Bersangka Muluk" membawa penonton menyelami keunikan penyediaan Akok sambil mengaitkannya dengan legenda Puteri Onang Kening binti Sultan Mansur Shah (1467-1521).
Dokudrama ini menyitir sejarah Kelantan purba melalui kisah Puteri Onang Kening, seorang puteri diraja Kelantan yang bijaksana. Menurut legenda, baginda menggunakan Akok sebagai simbol pujukan untuk mententeramkan tiga adindanya Puteri Chuban, Puteri Chupak dan Putera Gombak setelah mendapat firasat bahawa mereka berempat akan dibawa ke Melaka demi mengelakkan pertumpahan darah setelah Kelantan tewas kepada perajurit Melaka pimpinan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir.
Kisah ini memperlihatkan bagaimana Akok yang menjadi santapan fizikal berperanan sebagai medium diplomasi bagi mengekalkan keharmonian dalam tradisi diraja Kelantan.
Potensi Akok dalam Pelancongan Gastronomi Taraf Global
Inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan mengangkat Akok sebagai ikon pelancongan gastronomi Kelantan, membuka peluang besar untuk memperkenalkan warisan budaya negeri ini ke peringkat global. Justeru penghasilan dokudrama ini mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merintis teknik menggabungkan elemen masakan, sejarah dan seni yang dipersembahkan dalam tiga bahasa; Melayu, Arab dan Inggeris untuk siaran media lokal dan global.
Lima pangkalan udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1 dan 2), Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu sudah menyatakan persetujuan untuk menayangkannya di terminal masing-masing. Hal ini membuktikan usaha proaktif Kerajaan Negeri dalam mempromosi produk pelancongan tempatan mendapat pengiktirafan pemain industri.
Selain itu, elemen penceritaan seperti legenda Onang Kening juga mampu menarik minat pelancong yang menggemari pengalaman unik dan kaya dengan naratif sejarah. Usaha ini juga seiring dengan keperluan memperkasakan industri pelancongan berasaskan budaya (cultural tourism) yang kian diminati.
Gabungan demonstrasi masakan, penceritaan sejarah, dan peluang interaksi bersama masyarakat setempat selaku usahawan Akok dan juadah tradisional lain membolehkan pelancong domestik dan antarabangsa merasai pengalaman autentik yang tidak dapat dilupakan sekali gus belajar perihal kearifan tempatan.
Kesimpulannya Dokudrama "Akok, Amalan Bersangka Muluk" yang diproduksikan oleh anak muda Kelantan dari Unit Media KITABINA ialah rakaman seni masakan tradisional yang menjadi tanda aras penting dalam melestarikan warisan gastronomi Kelantan.
Di tangan pasukan produksi ini, Akok tidak lagi hanya sekadar kuih tradisional yang popular di bulan puasa, bahkan kini merentasi musim tetapi turut menjadi simbol perpaduan, diplomasi, dan kebijaksanaan puteri diraja Kelantan yang diwarisi turun-temurun oleh wanita Kelantan ke hari ini.
Kredit tertinggi wajar diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan melalui janaan idea bernas Datuk Kamarudin atas inisiatif penerbitan naskhah kreatif yang menyerlahkan komitmen dalam mempromosi industri pelancongan Kelantan.
Melalui teknik pelestarian sebaran informasi berkaitan kulinari dan gastronomi warisan negeri yang didokumentasikan secara digital, mampu mengukuhkan Kelantan sebagai destinasi pelancongan gastronomi terkemuka bertaraf antarabangsa.
Beliau berharap semua penggemar Akok terhibur dengan persembahan dokudarama ini. Beliau juga menyeru semua penggiat seni budaya dan rakyat Kelantan berbangga dengan kekayaan warisan ini serta terus menyokong usaha pemeliharaannya agar dapat dinikmati generasi akan datang.
0 Comments