Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 16 Januari - Kerja-kerja pemasangan landasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 400 kilometer dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan siap lebih awal daripada jadual apabila ia telah siap dipasang sepenuhnya, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Dato' Sri Darwis Abdul Razak berkata pencapaian tersebut merupakan satu pencapaian yang baik dan berada pada landasan yang tepat untuk projek itu siap sepenuhnya pada Disember 2026.
"Dengan kemajuan kerja keseluruhan telah mencapai 77.39 peratus pada Disember 2024 dan penyiapan pemasangan landasan utama dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan sepanjang 400 kilometer pada hari ini, maka kita berada pada landasan tepat untuk kita siapkan sepenuhnya projek mega ini pada Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.
"Pencapaian pada hari ini merupakan pencapaian yang signifikan kerana ia merupakan penyiapan landasan utama projek untuk ECRL yang disiapkan dua bulan setengah lebih awal daripada jadual.
"Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan semua Kerajaan Negeri yang terlibat dalam usaha menjayakan projek ini."
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyempurnaan Pemasangan Rel ECRL di tapak projek ECRL, Tunjong, Kota Bharu pada Rabu.
Mengulas tentang harga tiket, Dato' Sri Darwis menjelaskan harga tiket belum diputuskan lagi dan ia bergantung kepada Kementerian Pengangkutan untuk memutuskanya dan akan diumumkan pada waktu yang sesuai.
Dato' Sri Darwis juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk kampung yang terlibat dalam projek ECRL kerana telah memberi kerjasama yang baik dalam usaha untuk menyiapkan projek itu.
Untuk rekod, pemasangan landasan ECRL fasa pertama sepanjang 92 kilometer dari Kuantan Port City (KPC) Pahang Ke Dungun Terengganu, bermula pada 11 Disember 2023 dan siap menjelang akhir Februari 2024 iaitu sebulan lebih awal daripada jadual.
Pemasangan landasan bagi fasa kedua dari KPC ke Maran, sepanjang 97 kilometer telah bermula pada 9 Mac 2024 dan siap sebulan setengah lebih awal iaitu pada pertengahan Jun 2024.
Manakala pemasangan landasan bagi fasa ketiga sepanjang lebih 206 kilometer bermula dari Kampung Batu Tujuh, Dungun ke Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu bermula pada 13 Julai 2024 dan siap sepenuhnya, semalam.
Kerja-kerja pemasangan landasan fasa ketiga tersebut menggunakan mesin pemasangan trek model "CCPG-500A" telah mengambil masa selama 160 hari bekerja untuk menyiapkan proses pemasangan landasan pada Rabu dengan purata pemasangan sepanjang 1.5 kilometer sehari.
0 Comments