SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Tempahan bilik hotel dan rumah tumpangan di Kelantan dijangka bertambah berikutan cuti sekolah yang bermula 17 Januari ini dan sambutan Tahun Baru Cina.
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Kelantan menjangka semua hotel di negeri itu tanpa mengira kategori akan menerima sambutan positif.
Setiausaha Kehormat MAH Kelantan, Muhammad Azrin Zainal Abidin, berkata, pihak hotel membuat persiapan untuk memastikan semua bilik berada dalam keadaan terbaik.
Menurutnya, selain memastikan bilik bersih dan selesa, kakitangan hotel turut diberi penekanan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada tetamu.
“Kakitangan hotel sebagai duta kecil bagi hotel dan mereka berperanan menyampaikan maklumat positif tempat-tempat tumpuan pelancong di Kelantan," katanya di sini.
Tambahnya, tempahan bilik hotel di Kelantan kini berada pada kadar 50 peratus, namun trend menunjukkan peningkatan menjelang cuti sekolah minggu depan.
Menurut beliau, kebanyakan pelancong membuat tempahan pada saat-saat akhir melalui laman sesawang, aplikasi dalam talian, atau terus menghubungi hotel.
“Kami berharap cuaca baik sepanjang cuti tersebut supaya lebih ramai pelancong dapat datang ke Kelantan dan melawat tempat-tempat menarik,” tambahnya.
Azrin yang juga Pengurus Jewels Hotel berkata, biar pun Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 sudah berlalu, namun MAH tetap membuat promosi bagi menarik pelancong berkunjung ke negeri itu.
Tambahnya, industri perhotelan terus berusaha mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pilihan bagi meneruskan kesinambungan kempen TMK.
0 Comments