Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 27 Januari – Hubungan erat antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Negeri Kelantan terus menjadi pemacu kelancaran pelbagai agenda pembangunan di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa peranan strategik JKPTG dalam pengurusan tanah persekutuan yang meliputi proses pengambilan tanah, pembahagian pusaka kecil, serta pemantauan tanah rizab persekutuan.
“JKPTG memainkan peranan penting dalam pengurusan tanah persekutuan, termasuk proses pengambilan tanah, pembahagian pusaka kecil, serta memantau tanah rizab persekutuan,” katanya dalam catatan di media sosialnya, hari ini.
Untuk rekod, JKPTG juga berperanan dalanm urusan pembangunan tanah, penguatkuasaan undang-undang tanah, penyelesaian isu pertikaian tanah, pembangunan polisi dan garis panduan tanah, memberi panduan dan khidmat nasihat berkaitan tanah serta penyelenggaraan dan pengemaskinian rekod tanah.
Terdahulu, Menteri Besar menerima kunjungan hormat daripada Pengarah JKPTG Negeri Kelantan, Haszlihisham Abdullah, di pejabatnya di Mabna, Kota Darulnaim.
Pertemuan tersebut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama di antara kedua-dua pihak dalam memacu agenda pembangunan negeri.
Dato' Mohd. Nassuruddin berharap pertemuan tersebut dapat memantapkan lagi sinergi di antara Kerajaan Negeri dan JKPTG demi merealisasikan pembangunan yang mampan untuk kesejahteraan rakyat Kelantan.
0 Comments