Ticker

6/recent/ticker-posts

Perkasa peranan surau pusat komuniti setempat


SALMAH MAT HUSAIN

PASIR PUTEH: Kerajaan negeri berusaha memperkukuhkan institusi agama dengan memperkasakan peranan surau sebagai pusat komuniti setempat.

Adun Gaal Mohd Rodzi Ja’afar berkata, program keagamaan yang sering dianjurkan kerajaan negeri membuktikan pentadbiran di bawah ulama mengutamakan ketakwaan dan mengingatkan rakyat menunaikan ibadat terutamanya solat.

"Kerana itu program Membina Generasi Solat diadakan setiap tahun khususnya dalam kalangan anak-anak untuk mengingatkan mereka tentang kewajipan ibadat tersebut," katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada Surau At-Taqwa Wakaf Raja dekat sini semalam. 

Sumbangan kerajaan negeri itu disampaikan Adun Gaal kepada Pengerusi Surau At-Taqwa Mohd Asri.


Sumbangan tersebut bertujuan  membantu pengurusan dan pembangunan surau berkenaan bagi kemudahan penduduk setempat.

Sementara itu, Asri melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri menyumbang peruntukan untuk meningkatkan prasarana surau berkenaan. 

"Sumbangan ini menggambarkan kesungguhan kerajaan Kelantan  mendukung agenda pembangunan Islam, selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi tunjang pentadbiran negeri," katanya.

Sementara itu pada majlis berasingan pula, Rodzi merasmikan Program Ceramah Israk Mikraj dan Khatam Al-Quran anjuran Muslimat Dun Gaal di Kampung Bukit Awang.

Program tersebut bertujuan menyemarakkan penghayatan terhadap peristiwa Israk dan Mikraj di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Post a Comment

0 Comments