Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 12 Jan – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) terus mengukuhkan peranan sebagai institusi pendidikan berkualiti dengan matlamat melahirkan generasi celik al-Quran, berperibadi mulia, dan mahir berbahasa, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang, YB Dato' Dr Izani Husin.
Menerusi kenyataan di media sosialnya hari ini, Dato' Dr Izani yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa PASTI tidak hanya mempersiapkan kanak-kanak untuk alam persekolahan, tetapi juga menanam nilai-nilai agama sebagai asas penting dalam kehidupan.
“Pendidikan di PASTI bertujuan memberikan kefahaman awal mengenai Islam, membentuk sahsiah terpuji, serta memperkayakan kemahiran berbahasa sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Beliau turut memuji sistem pendidikan PASTI yang dirancang dengan teliti, memberikan tumpuan kepada pengajaran ilmu fardu ain sebagai teras utama.
“Proses pembelajaran di PASTI mengutamakan pengukuhan akidah dan pembentukan sahsiah sebelum pelajar melangkah ke peringkat pendidikan lebih tinggi. Usaha ini penting untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi rohani dan intelektual,” jelasnya lagi.
Dato' Dr Izani turut menekankan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan, melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK), menyediakan platform pendidikan menyeluruh menerusi institusi seperti maahad.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membentuk generasi yang menjadikan nilai-nilai agama sebagai tunjang utama, sekaligus melahirkan pemimpin masa depan yang berintegriti,” tambah beliau.
Terdahulu, Dato' Dr Izani telah merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Al-Haqq di Kedai Buluh, pada Sabtu.
0 Comments