RANTAU PANJANG:
Biarpun usia hampir mencecah 80 tahun, namun bekas Pegawai Penerangan PAS
Kelantan, Haji Abdul Razak Abas masih bersemangat apabila bercakap tentang
politik dan perjuangan.
Ketika diaju soalan berapa usia sekarang, Abdul Razak yang lebih mesra sebagai Abe Jak memberitahu beliau yang 'memaku perahu Nabi Nuh sebelum banjir besar melanda bumi Arab'.
Ungkapan itu keluar secara spotan dari mulutnya sambil berseloroh ketika ditemui semasa kunjungan Pengarah Urusetia Penghulu Negeri Kelantan, Haji Zulkifli Mamat di rumahnya di Kampung Banggol Kulim semalam.
Biarpun agak uzur, namun beliau masih bersemangat bercerita dan memberi peringatan supaya setiap orang Islam tidak merasa sombong ketika berada di puncak kuasa.
“Orang yang sombong tidak layak tinggal di atas muka bumi ini, dan kena cari bumi lain,” katanya sambil selang seli bertutur bahasa Cina, Siam dan Inggeris.
Pendengarannya masih kuat biarpun sudah dimamah usia. Beliau juga masih gagah melangkah sehingga ke luar rumah. Pada akhir tahun lepas beliau agak uzur dan diziarahi Adun Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad dan penghulu.
Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Cina di Rantau Panjang. Maka tidak pelik beliau dapat menguasai bahasa Cina dan Siam dengan baik.
Abe Jak merupakan bekas pimpinan Umno sebelum menyertai Parti Melayu Semangat 46 yang diasas Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Penerangan Semangat 46 Kelantan. Bagaimanapun selepas Semangat 46 dibubar beliau tidak kembali ke pangkuan Umno seperti ramai pemimpin lain. Sebaliknya, beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan baharu.
“Cetusan awal saya untuk menyertai PAS muncul ketika saya dalam pesawat semasa perjalanan pulang dari Bangkok. Dari situ Allah Taala membuka pintu hati saya menyertai PAS selepas Semangat 46 dibubarkan,” katanya.
Selain Abe Jak, ramai lagi pemimpin Semangat 46 turut menyertai PAS termasuk bekas Adun Kelaboran, Haji Nordin Yaakub dan bekas Adun Tendong, Haji Husin Ahmad.
Selain itu, Adun Pulai Chondong, Kapten (B) Mohd Noor Ahmad yang juga diuar-uarkan mahu menyertai PAS. Bagaimanapun beliau meninggal dunia pada 4 Disember 1996.
Mereka menyertai PAS selepas Semangat 46 dibubarkan dan pimpinan utama menyertai semula Umno pada 8 Oktober 1996. Selepas Semangat 46 dibubar, Majlis Tertinggi Umno dilapor menerima 10,000 permohonan bekas ahli parti itu.
Nordin menyertai PAS pada 19 Julai 1997 kemudian diikuti Haji Husin pada 28 November 1997. Turut menyertai PAS bekas pengawal peribadi Tengku Razaleigh, Husin Talib yang juga bekas tentera.
Abe Jak juga pernah dicalon mewakili PAS di parlimen Gua Musang pada PRU 1999 dan berdepan Ku Li yang mewakili BN.
Pada Pilihan Raya Umum ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999 Tengku Razaleigh mendapat 12,825 undi atau undi popular 56.4 peratus, manakala Abdul Razak mendapat 9,900 undi (43.6 peratus).
Abe Jak juga memberitahu beliau begitu kagum terhadap kepimpinan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai aspirasi bagi meneruskan perjuangan bersama PAS.
Sebelum mengunjungi Abe Jak, Zulkifli yang juga Pengerusi Jabatan Arkib PAS Kelantan meninjau Galeri Arkib PAS Pasir Mas di tingkat atas Pejabat PAS Pasir Mas.
Hadir sama Penolong Setiausaha Jabatan Arkib PAS Kelantan, Mohd Zaim Asyraf Abdul Rashid; Pegawai Tarbiah PAS negeri, Ustaz Ahmad Huzaifah Fauzi; Setiausaha PAS Pasir Mas, Mohd Zailani Mohd Yunus; ahli jawatankuasa PAS kawasan dan penghulu.
Pasir Mas merupakan lokasi pertama kewujudan PAS di Kelantan. Usaha mengembangkan PAS ke Pasir Mas dilakukan Ustaz Amaluddin Darus.
Kegigihan Amaluddin dengan dibantu pemimpin-pemimpin tempatan membolehkan PAS Cawangan Pasir Mas ditubuh pada 23 Julai 1953.







0 Comments