Kelantan bekal tenaga boleh baharu utama negara

 

PASIR MAS: Kelantan berpotensi membekalkan tenaga boleh baharu utama di negara ini apabila projek ladang solar kedua dibangunkan di negeri itu.

Terbaharu Projek Solar Berskala Besar (LSS5) akan dibangunkan di kawasan seluas 400 ekar di Kampung Serongga, Mukim Apam Rantau Panjang.

Projek tersebut dilaksanakan di tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui pajakan selama 23 tahun.

Projek berkenaan akan dilengkapi dengan kira-kira 280,000 panel solar dan 473 unit inverter. Ia dijangka mampu menjana 300,000 megawatt jam (MWh) tenaga elektrik bersih setahun.

Tenaga tersebut mampu membekalkan keperluan elektrik kepada kira-kira 75,000 rumah di Malaysia. Projek terbabit dibangunkan Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd.

Sebelum ini Kelantan memiliki Ladang Solar Terapung di Danau Tok Uban, Pasir Mas yang mampu mengeluarkan kapasiti 60 MWac. Ia dibangunkan Cypark Resources di kawasan seluas 40 hektar.

Sebanyak 250,000 panel solar beroperasi di ladang tersebut dan pernah memenangi anugerah projek mampan bertaraf dunia.

Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar Pasir Mas hari ini disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Amar Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Menteri Besar, Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelaksanaan projek itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Kelantan sebagai destinasi pembangunan tenaga lestari utama di negara ini.

Katanya, pembangunan loji tenaga solar tersebut turut membuka peluang pekerjaan melalui penyertaan usahawan tempatan dan pembekal perkhidmatan serta rantaian ekonomi baharu.

“InsyaAllah projek ini akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan, usahawan, pembekal perkhidmatan serta tenaga kerja anak-anak Kelantan,” katanya pada program terbabit.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; Exco Kerjaya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato' Dr Izani Husin.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Sr Dato’ Zamri Ismail, wakil-wakil rakyat dan Pengerusi Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd. Dato’ Wira Mohd Anis Hisham.

Menteri Besar juga berkata, krisis tenaga global membuka ruang lebih luas pembangunan industri tenaga boleh baharu khususnya tenaga solar.

Kata beliau tenaga solar dapat menyokong keperluan tenaga masa hadapan, di samping mengurangkan kebergantungan sumber tenaga konvensional.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri menjadi asas penting bagi memperkukuh ekosistem pelaburan serta mempercepat pembangunan industri tenaga boleh baharu di Kelantan.

Sementara itu Mohd Anis berkata, projek berkenaan dianggar dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida melebihi 200,000 tan metrik setahun.

“Ia sekali gus menyokong aspirasi Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan sasaran pelepasan sifar bersih,” katanya.


 

 

Post a Comment

0 Comments