Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 16 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan menggesa penduduk serta pengusaha tempat peranginan (resort dan chalet) di seluruh negeri ini segera melaporkan sebarang kejadian hakisan pantai dan sungai yang mungkin berlaku akibat musim tengkujuh.
Sebelum ini, beberapa kawasan peranginan pesisir Pantai Kandis, Bachok, terjejas apabila fenomena air pasang besar dan ombak setinggi tiga meter menyebabkan hakisan kecil serta kerosakan landskap. Fenomena ini turut membawa sampah sarap ke pantai, mencemarkan persekitaran.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata dalam mesyuarat exco semalam, Exco Kerjaya, Infrastruktur, Air dan Pembanguan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin memaklumkan bahawa setakat ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan tidak menerima sebarang laporan berkaitan hakisan serius di Kelantan yang merosakkan harta awam.
“Fenomena hakisan kecil memang lazim berlaku semasa musim tengkujuh dan air laut pasang besar, tetapi kejadian yang menjejaskan harta benda atau infrastruktur awam setakat ini belum dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, pada Rabu.
Tambahnya, kerajaan negeri komited memantau situasi sepanjang musim tengkujuh sebagaimana jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) berterusan sehingga Mac 2025 dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka sepanjang tempoh itu.
Oleh itu, beliau menyeru penduduk dan pengusaha resort yang terjejas tampil membuat aduan bagi membolehkan tindakan pemantauan segera diambil.
“Di Terengganu, kita dapat maklumat beberapa kejadian hakisan telah berlaku. Walaupun begitu, kita sentiasa berjaga-jaga kerana musim tengkujuh ini belum tamat sepenuhnya.
“Jika berlaku hakisan di kawasan kita, saya menyeru semua pihak terbabit untuk segera membuat laporan supaya kerajaan negeri dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, insya-Allah,” ujar.
0 Comments