Ticker

6/recent/ticker-posts

JELI GERBANG PELANCONGAN ALAM SEMULA JADI KELANTAN

Oleh: Asri Hamat

JELI, 16 Januari – Jeli terus unggul sebagai gerbang pelancongan alam semula kerana destinasi pelancongan itu strategik dan berpotensi tinggi menjadi pintu masuk utama Kelantan dari Perak melalui Grik, dan Malaysia ke Thailand melalui Bukit Bunga.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jeli (MDJ), Mohd Shaifudeen Md Salleh berkata jajahan tersebut mempunyai kelebihan geografi yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik lebih ramai pelancong, baik dari dalam mahupun luar negara.

"Keindahan semula jadi Jeli adalah aset yang berharga, dan perhatian harus diberikan untuk menjadikan ia daya tarikan utama kepada pengunjung yang ingin menikmati alam sekitar dan merakam momen indah,” katanya dalam Program Townhall Pelan Strategik Pelancongan Jajahan Jeli 2025-2030 yang berlangsung di Dewan Taman Cahaya, Gunung Reng, hari ini.

Menurutnya, pelan strategik tersebut merupakan dokumen perancangan enam tahun bagi menjadikan Jeli sebuah destinasi ekopelancongan yang unik dan berdaya saing di Kelantan.

Townhall anjuran MDJ itu bertujuan mendapatkan pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan hala tuju pembangunan pelancongan Jeli dapat dicapai dengan berkesan.

“Antara agenda utama yang dibincangkan adalah pembangunan tempat-tempat pelancongan ikonik seperti Gua Stir, Gunung Reng, Lata Kashmir, Bukit Salor, Lata Jerai, Kolam Air Panas, Lata Janggut, Lata Renyuk, dan Lata Mawo.

“Lokasi-lokasi ini sememangnya menjadi tumpuan pelancong, namun masih memerlukan usaha naik taraf infrastruktur, kemudahan asas, dan akses yang lebih baik untuk menjamin pengalaman pelawat yang selesa dan menyeronokkan,” jelas beliau.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato' Abdul Hadi Awang Kechil, Ketua Whip Ahli Majlis MDJ Ahmad Sanuzi Pauzi, wakil Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Kelantan serta wakil Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kelantan.

Post a Comment

0 Comments