Ticker

6/recent/ticker-posts

PENSIJILAN HALAL: EXCO AGAMA TERIMA KUNJUNGAN GERAKAN, BINCANG INFORMASI TEPAT

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 8 Januari – Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berbesar hati menerima kunjungan hormat Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Wendy Subramaniam bersama delegasi partinya di Mabna, pada Isnin.

Pertemuan itu bertujuan membincangkan secara mendalam pelaksanaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), khususnya dalam kalangan peniaga bukan Islam di Kelantan.

YB Mohd Asri menyatakan, beberapa cadangan daripada pihak GERAKAN akan diberi perhatian serius.

“Insya Allah, ada beberapa cadangan daripada pihak mereka yang akan kami bawa ke perbincangan selanjutnya. Terima kasih kepada GERAKAN atas keprihatinan mereka dalam mendapatkan maklumat tepat serta mengemukakan pandangan bagi pihak bukan Islam,” katanya menerusi catatan di media sosial selepas pertemuan berkenan.

Sementara itu, Wendy Subramaniam dalam kenyataannya di media sosial berkata, GERAKAN telah mengemukakan beberapa cadangan berkaitan pelaksanaan SPHM, terutamanya yang melibatkan pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

“Kami mencadangkan supaya kaedah pelaksanaan SPHM diteliti semula agar ia tidak membebankan peniaga kecil. Kami juga meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberikan masa persediaan lebih panjang kepada peniaga, serta memperkenalkan kategori klasifikasi halal dengan bayaran dan syarat yang lebih bersasar,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan dialog bersama pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan polisi yang lebih inklusif dan sesuai dengan keperluan rakyat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pemuda GERAKAN Lee Boon Shiang dan Pengarah Pilihan Raya GERAKAN Kelantan Ong Hang Woon.



Post a Comment

0 Comments