SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Petronas menyumbang set lengkap peralatan memasak untuk kegunaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) khususnya di kawasan kritikal banjir baru-baru ini.
Sumbangan berkenaan diserahkan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim semalam.
Sumbangan itu bertujuan memastikan penyediaan makanan di PPS berjalan lancar serta kebajikan mangsa banjir terpelihara dengan baik.
Antara peralatan yang disumbang 30 set periuk, 30 unit kawah, dapur memasak, bekas nasi berkapasiti 27 liter, bekas minuman 26 liter dan cerek air aluminium 7 liter.
Rohani berkata, peralatan tersebut akan diagihkan ke kawasan kritikal banjir termasuk Pasir Mas, Tumpat, dan Kuala Krai.
Katanya agihan turut dibuat ke kawasan lain bergantung kepada keperluan semasa.
“Sumbangan ini disediakan untuk menyediakan makanan secara gotong-royong di PPS di masa hadapan apabila berlaku bencana banjir,” katanya selepas majlis penyerahan.
Kata beliau sumbangan peralatan memasak tersebut merupakan kali pertama diterima Kerajaan Negeri Kelantan.
"Petronas sebelum ini menyumbangkan kit bantuan kepada mangsa banjir secara personal, yang diagihkan baru-baru ini sebanyak 1,000 kit.
"Kerjasama seperti ini mencerminkan keprihatinan syarikat korporat terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam menghadapi bencana alam seperti banjir," ujar beliau lagi.
0 Comments