SALMAH MAT HUSAIN
MACHANG: Seramai 79 pelajar Maahad Syamsul Maarif Lelaki Labok menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), manakala 88 pelajar lagi mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Adun Pulai Chondong, Ustaz Azhar Salleh meluangkan masa seketika bersama mereka bagi memberi sokongan moral dan nasihat kepada calon peperiksaan terbabit semalam.
Beliau mengingatkan pelajar supaya menjawab peperiksaan dengan tenang dan fokus sepenuhnya kepada soalan.
"Pelajar hendaklah memanfaatkan ilmu yang diajar para guru sepanjang tahun pengajian. Jangan lupa berdoa dan memohon pertolongan kepada Allah SWT.
"Kita belajar dan menduduki peperiksaan bukan semata-mata untuk mencapai keputusan cemerlang, tetapi sebagai persiapan menjadi pendakwah yang mampu memberi manfaat kepada umat," katanya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah terbabit turut menzahirkan rasa syukur atas kehadiran penuh pelajar dan berharap mereka mencapai kejayaan gemilang.
Kata beliau peperiksaan itu diharap dapat menjadi titik tolak dalam membentuk generasi pendakwah yang berilmu dan berakhlak mulia.
0 Comments