Ticker

6/recent/ticker-posts

PROGRAM KHITAN PERDANA RINGANKAN BEBAN KELUARGA

Oleh: Asri Hamat

TANAH MERAH, 27 Januari- Program khitan perdana yang dianjurkan saban tahun mampu meringankan beban keluarga, kata Ahli Dewan Negeri (Kemahang) YB Mejar (B) Dato' Md Anizam AB Rahman.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, program yang diadakan secara berkelompok itu hanya mengenakan bayaran RM20 sahaja untuk setiap peserta.

"Selain mengangkat sunnah Rasulullah SAW, program seperti ini juga menjadi platform untuk mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

"Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program khitan perdana DUN Kemahang kali ini.

"Semoga usaha ini dapat diteruskan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat", katanya menerusi catatan di media sosial miliknya pada Sabtu.

Seramai 105 peserta dari DUN Kemahang menyertai program khitan perdana tersebut yang diadakan di PASTI al-Munir, Batang Merbau, Kemahang pada Sabtu.

Selain berkhitan, terdapat aktiviti khas yang menarik diadakan untuk kanak-kanak yang hadir bersama keluarga seperti soopa doopa yang telah memeriahkan suasana.

Dalam perkembangan lain, seramai 500 pelajar di DUN Kemahang yang memerlukan telah menerima baucer kembali ke sekolah yang diadakan di perkarangan Pusat Khidmat DUN Kemahang pada Jumaat lepas.

Menurut Dato' Md Anizam, program tersebut bertujuan membantu keluarga yang memerlukan dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka menjelang sesi persekolahan yang baharu.

"Diharap sumbangan ini digunakan sebaik mungkin untuk membeli barangan keperluan seperti pakaian sekolah dan lain-lain.

"Semoga usaha ini memberi manfaat kepada para pelajar dan keluarga dan menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus lebih berusaha bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran.

"Kita akan sentiasa komited untuk melaksanakan program-program kebajikan seperti ini untuk manfaat masyarakat setempat," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments