Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 27 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh komitmen dalam memartabatkan amalan solat melalui pelaksanaan program "Iqamatu Solat" sempena sambutan Isra’ dan Mikraj 1446H peringkat negeri Kelantan.
Langkah tersebut selari dengan usaha memantapkan penghayatan Islam dan mewujudkan institusi kecemerlangan amal Islami dalam kalangan rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, inisiatif tersebut adalah kesinambungan pelbagai usaha terdahulu seperti program Membina Generasi Solat (MGS) yang telah diterapkan di Kelantan sejak sekian lama.
Melalui perutusan sempena memperingati sirah mukjizat itu, beliau memaklumkan bahawa Program "Iqamatu Solat" akan menghimpun seramai mungkin alumni MGS di seluruh Kelantan sebagai langkah menyemarak aura positif kepada masyarakat. Kerajaan negeri yakin dengan santunan anak-anak muda yang menjaga solat akan memberikan perisai iman dalam berhadapan cabaran dunia tanpa sempadan hari ini.
“Melalui program ini, kita bukan sahaja memupuk amalan solat dalam kalangan rakyat, malah menyemarakkan kembali penghayatan amal Islami untuk membentuk masyarakat beriman dan bertakwa.
"Alumni program MGS dari seluruh negeri Kelantan akan turut dihimpunkan bagi menyemarakkan aura positif dan memperkukuh perisai iman generasi muda dalam berhadapan cabaran dunia tanpa sempadan hari ini,” jelasnya menerusi kenyataan itu, hari ini.
Beliau turut mengimbau peristiwa agung Isra’ dan Mikraj yang menjadi tonggak pensyariatan solat lima waktu sebagai kewajipan umat Islam dengan memetik intipati surah al-Isra’ ayat 1.
Mengulas lanjut, YB Mohd Asri menyatakan bahawa peristiwa berkenaan menurut Imam Al-Thabari dan Ibnu ‘Asyur ialah mukjizat yang melangkaui batasan adat, sekali gus membuktikan kenabian dan kerasulan Baginda SAW. Pensyariatan solat pula diperteguh melalui hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa solat lima waktu menyamai lima puluh waktu dalam timbangan Allah SWT.
Beliau turut menyifatkan bahawa solat adalah tiang agama dan pelaksanaan ‘Iqamatu Solat’ adalah langkah penting dalam membentuk bi’ah solehah yang mampu mencegah gejala sosial dalam masyarakat. Ia menjadi tunjang kepada agenda Membangun Bersama Islam yang digariskan oleh kerajaan negeri.
Beliau juga optimis program "Iqamatu Solat" tahun ini dijangka membawa pendekatan baharu yang lebih dinamik dan inklusif melalui pelan strategik Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
"Inisiatif kerajaan negeri melalui Bahagian Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan itu juga menzahirkan hasrat kerajaan negeri untuk memperluaskan pengaruh solat sebagai tunjang kecemerlangan amal Islami," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mempersila orang ramai hadir beramai-ramai memeriahkan Program "Iqamatu Solat" yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, esok (28 Januari) pukul 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Kompleks Islam Darulnaim Lundang, Kota Bharu.
Antara pengisiannya, Forum Solat Berkualiti, Pelancaran Kit Solat & Modul MGS dan Anugerah Ikon Solat.
0 Comments