Johan Anugerah Kecemerlangan Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2024, Majlis Daerah Jeli |
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Bepix
KOTA DARULNAIM, 13 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sejumlah RM71,000 sebagai hadiah keseluruhan kepada pemenang Pertandingan Kelantanku Bersih 2024, melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ikon Kebersihan yang berjaya memacu usaha menjaga kebersihan di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah menzahirkan penghargaan kepada semua 12 PBT di negeri ini yang aktif melaksanakan pelbagai program kebersihan sepanjang tahun.
Beliau turut menyeru agar agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, NGO, syarikat korporat, dan masyarakat umum terus terlibat secara aktif.
Johan Kategori Taman Rekreasi PBT Terbersih dan Ceria, Taman Perbandaran Tengku Anis Kota Bharu |
“Sepanjang tahun 2024, Program Kelantanku Bersih telah diperkasakan dengan Jelajah Kelantanku Bersih ke PBT dan program gotong-royong di lokasi tumpuan ramai. Usaha ini menunjukkan kesungguhan semua pihak dalam memastikan kebersihan dan keceriaan persekitaran,” kata YB Hilmi.
Menurutnya, program itu turut dirancakkan dengan Pertandingan Kelantanku Bersih yang melibatkan enam kategori utama bagi menggalakkan persaingan sihat dalam usaha mengekalkan kebersihan.
Mendahului senarai pemenang, Majlis Daerah Jeli membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta sijil penghargaan dan trofi Anugerah Kecemerlangan PBT.
Johan Taman Perumahan Terbersih, Taman Guru, Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam |
Disusuli Kategori Taman Rekreasi PBT Terbersih dan Ceria pula dimenangi oleh Taman Perbandaran Tengku Anis Kota Bharu, dengan hadiah RM5,000, trofi, dan sijil penghargaan. Diikuti Johan Taman Perumahan Terbersih disandang oleh Taman Guru, Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam, yang menerima RM5,000, trofi, dan sijil penghargaan.
Menarik sekali apabila Pasar Awam Laloh, Kuala Krai muncul sebagai Pasar Awam PBT Terbersih. Begitu juga Tandas Awam Pantai Irama, Bachok menjuarai kategori Tandas Awam PBT Terbersih. Kedua-dua pemenang diganjari wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan trofi.
Johan Pasar Awam PBT Terbersih, Pasar Awam Laloh, Kuala Krai |
Johan Tandas Awam PBT Terbersih, Tandas Awam Pantai Irama, Bachok |
Ikon Kebersihan PBT dianugerahkan kepada Mohd Sobri bin Abd Razak dari Majlis Daerah Kuala Krai, manakala Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kebersihan pula diraih Tik Toker Kay Chanel Nik Ahmad Kaysfi Nik Zamani. Kedua-duanya membawa pulang RM1,000, trofi, dan sijil penghargaan.
YB Hilmi mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan berharap penganjuran pertandingan tersebut dapat terus menyemai semangat cintakan kebersihan dalam kalangan masyarakat.
“Amalan kebersihan bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi usaha kolektif semua pihak. Semoga Pertandingan Kelantanku Bersih ini menjadi platform untuk memupuk budaya kebersihan dan menjadikan negeri Kelantan lebih ceria dan indah,” ucapnya dalam Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2024 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, pada Ahad.
Ikon Kebersihan PBT, Mohd Sobri bin Abd Razak, Majlis Daerah Kuala Krai |
Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kebersihan, Tik Toker Kay Chanel Nik Ahmad Kaysfi Nik Zamani |
0 Comments