Oleh: Norzana Razaly
PASIR MAS, 8 Januari – Seiring hasrat mantan Menteri Besar almarhum YAB Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mempromosi penggunaan dinar emas dan dirham perak sebagai alternatif kepada sistem mata wang konvensional, SG4 Group memperkukuh langkah strategik ke arah pelaburan emas sebagai sumber pendapatan baharu.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdangangan dan Keusahawanan YB Mohamad Nasrif Daud berkata usaha tersebut dijalin melalui sinergi perniagaan SG4 Sdn. Bhd. bersama Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd. (KGT).
Menurut beliau, dalam usaha merealisasikan visi tersebut, KGT telah diundang menyertai Bengkel Pelan Strategik SG4 Group di sebuah hotel di Langkawi, pada Isnin.
“Bengkel ini melibatkan negeri-negeri dalam kumpulan SG4, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis, yang bekerjasama merangka hala tuju strategik demi pembangunan ekonomi yang mampan.
“Langkah ini diyakini menjadi kunci utama ke arah kesejahteraan kewangan negeri dan rakyat di negeri SG4 seperti yang telah dilaksanakan di Kelantan menerusi pengenalan Dinar dan Dirham Kelantan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kenyataan itu disokong Pengurus KGT, Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad yang memaklumkan bahawa pembentangan Rancangan Perniagaan Emas di bengkel tersebut bertujuan menyebarluaskan penggunaan dan kesedaran simpanan emas dalam kalangan negeri SG4.
"Emas memiliki keupayaan untuk melindungi nilai kekayaan daripada inflasi dan ketidakstabilan ekonomi. Ia kekal stabil dan terjamin nilainya dalam jangka masa panjang," jelasnya.
Tambah beliau, instrumen penyimpanan dan pelaburan emas mampu menjadi asas kestabilan ekonomi bagi Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis. Namun, pelaksanaannya perlu diteliti berdasarkan bidang kuasa dan kepakaran setiap negeri, dengan fokus kepada pembangunan ekonomi serta peningkatan taraf hidup rakyat di negeri-negeri tersebut.
0 Comments