Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN, KADA BINCANG ISU PENANAMAN PADI, HADAPI KEMARAU

Kredit foto: Media Exco Pertanian

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 8 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengadakan perbincangan berkaitan isu penanaman padi terutamanya rumah pam Kemubu, pembinaan cerucuk (sheet pile), dan persediaan menghadapi musim kemarau yang bakal tiba.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menegaskan, keperluan kerjasama erat dua pihak itu amat penting dalam memastikan bekalan air mencukupi untuk sektor pertanian.

“Dalam pertemuan ini, kita memberi penekanan tentang pentingnya sinergi antara Kerajaan Negeri Kelantan dan KADA untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi sektor pertanian, khususnya penanaman padi.

“Langkah-langkah proaktif dan perancangan rapi amat penting bagi meningkatkan hasil padi untuk manfaat para petani,” katanya melalui catatan di media sosial pada Isnin.

Perbincangan tersebut diadakan sempena kunjungan hormat Pengerusi KADA yang baharu, Khalid Samad bersama rombongan pengurusan KADA ke pejabat exco di Mabna.

Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan Mohamad Nazwan Ismail.

Dato' Tuan Mohd Saripudin turut berharap pelantikan pengerusi KADA yang baharu akan membawa sinergi baharu dalam usaha memperkasakan sektor pertanian dan meningkatkan daya saing industri padi negara.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pengeluaran hasil tangkapan ikan di Kelantan pada tahun 2023 mencatatkan peningkatan kepada 60,031.6 metrik tan dengan nilai RM643.7 juta, berbanding 55,083 metrik tan bernilai RM548.9 juta pada tahun 2022.

“Pengeluaran ikan air tawar turut meningkat pada tahun 2023 dengan jumlah 5,933.1 metrik tan bernilai RM43.2 juta,” tambahnya.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Post a Comment

0 Comments