SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Syarat memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat mendapatkan Lesen Kekal Perniagaan di Kelantan sudah lama ditetapkan sesuai dengan Kota Bharu sebagai bandar raya Islam.
Syarat berkenaan hanya membabitkan tujuh kategori sahaja iaitu dapur hotel, premis di lapangan terbang, pusat beli-belah, kopitiam, restoran berantai, restoran makanan segera atau francais dan kedai kek, roti serta kilang perusahaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, Kerajaan Kelantan tidak tergesa-gesa membuat keputusan tersebut.
"Kesemua kategori yang disenaraikan itu diklasifikasikan sebagai perniagaan kukuh dari segi kewangan dan tidak membabitkan peniaga kecil," katanya kepada media selepas majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan 2025 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kota Darulnaim, di sini semalam.
Beliau menjawab kenyataaan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen, Lee Chean Chung yang mendakwa keputusan itu boleh menimbulkan implikasi negatif terhadap peniaga kecil termasuk peniaga Melayu.
Hilmi juga berkata, perkara itu sudah lama dilaksanakan namun ia belum diwajibkannya.
"Sebelum ini Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan sudah melaksanakan kursus kepada semua usahawan," katanya.
Tambah beliau lagi, kesemua tujuh kategori itu boleh meneruskan perniagaan di bawah lesen sementara yang boleh dipohon setiap tahun jika tiada sijil berkenaan.
Menurutnya jika lesen kekal boleh berniaga sehingga tempoh lima tahun sebelum lesen diperbaharui.
0 Comments