Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 14 Januari - "Kerajaan Negeri Kelantan telah membelanjakan sebanyak RM28.6 juta bagi bantuan kewangan kepada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tahun 2024," kata Exco Kerajaan Tempatan Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah.
Menurut YB Hilmi, daripada jumlah tersebut, bantuan untuk projek-projek pembangunan mendapat peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM16.2 juta.
"Bantuan perbelanjaan bagi kebersihan dan keceriaan menerima sebanyak RM7.8 juta, pengurusan sisa pepejal mendapat RM1.5 juta, pemberian mengurus PBT sebanyak RM369 ribu, manakala Sumbangan Membantu Kasar (SMK) dan pemberian pengecualian cukai taksiran bawah RM50 menerima bantuan sebanyak RM2.6 juta."
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan aluan di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan tahun 2025, di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim pada Isnin.
Tambahnya, bagi tahun 2025 pula, Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM41 juta bagi bantuan kewangan kepada PBT.
"Setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah meluluskan peruntukan tersebut.
"Semoga ia akan menjadi peyuntik semangat kepada PBT untuk merancang dan menggiatkan lagi kempen Kelantanku Bersih, sekali gus dapat mencapai objektif kerajaan negeri untuk melestarikan alam sekitar di bumi Kelantan ini," ujarnya.
Mengulas mengenai pelantikan Ahli Majlis PBT, YB Hilmi menjelaskan bahawa Ahli Majlis merupakan tonggak utama yang memainkan peranan penting dalam pengurusan dan pembangunan dalam sesebuah pentadbiran kerajaan tempatan.
"Mereka berfungsi sebagai penggubal dasar, perancang pembangunan dan berkhidmat untuk masyarakat.
"Dengan pelantikan ini, besarlah harapan kerajaan negeri agar semua Ahli Majlis yang dilantik dapat memberi komitmen yang cemerlang serta berani melakukan perubahan ke arah kebaikan dan kemajuan PBT.
"Ahli Majlis juga hendaklah melaksanakan amanah kepada masyarakat setempat dengan penuh integeriti, seiring dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan "Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera," jelasnya.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan kali ke-24 yang bersidang pada 4 Disember 2024 telah bersetuju untuk melantik seramai 288 orang Ahli Majlis PBT bagi tahun 2025.
Antaranya, Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad, Penolong Pengarah Penerangan UPKN R. Hareetaran dan Penolong Pegawai Penerangan UPKN Lim Guan Seng.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud itu juga diserikan dengan kehadiran timbalannya, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, mantan Menteri Besar YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Dato' Kaya Setia Dato' Nazran Muhammad.
Turut serta, Penasihat Undang-Undang Negeri YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Dato' Abdul Rahman Yunus, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri (ADN), Ahli Dewan Rakyat (ADR), Yang Dipertua PBT dan ketua-ketua jabatan.
0 Comments