Oleh: Norzana Razaly
RANTAU PANJANG, 8 Januari – Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff turun padang untuk menilai sendiri situasi semasa di kawasan strategik sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Hasil tinjauan tersebut, beliau mendapati tiada kesesakan berlaku di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand melalui Rantau Panjang-Sungai Golok pada hari-hari biasa.
Beliau menyatakan komitmennya untuk memastikan kelancaran pergerakan di kawasan sempadan, terutama bagi rakyat yang menggunakan laluan darat tersebut untuk urusan harian, ulang alik ke sekolah serta perniagaan.
“Saya hadir membuat tinjauan sekitar pukul 7.00 pagi tadi di ICQS untuk memastikan pengguna pintu sempadan itu tidak berdepan sebarang masalah.
"Kita buat tinjauan ini selepas menerima aduan daripada masyarakat tentang kesesakan di pintu masuk ini pada hujung minggu dan musim cuti namun isu itu tidak melibatkan pelajar.
"Kita ambil berat kemaslahatan rakyat selepas arahan larangan rentas sempadan melalui pengkalan haram di Sungai Golok oleh pihak berwajib mulai 1 Disember tahun lepas," jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau turut memuji kelancaran operasi di pintu sempadan dan menyatakan keyakinan bahawa kerjasama agensi terlibat dapat memastikan pergerakan keluar masuk di sempadan berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan kepada rakyat.
“Antara pengguna tegar ICQS ialah lebih kurang 100 pelajar di Golok yang bersekolah di Rantau Panjang. Ada juga pelajar kita yang bersekolah di Golok. Mereka yang menggunakan motorsikal ke sekolah rata-ratanya mengakui yang mereka dapat sampai ke sekolah tepat pada waktu sebelum loceng berbunyi pukul 7.30 pagi,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, Dato' Siti Zailah memaklumkan kerajaan sudah ada perancangan untuk membesarkan ICQS dan menambah Jambatan Muhibbah kedua.
Oleh itu, beliau amat berharap agar rakyat dapat mematuhi peraturan sedia ada dan berkerjasama dengan pihak berkuasa demi keselamatan serta keselesaan semua pihak, sementara dua kemudahan itu siap.
0 Comments