Ticker

6/recent/ticker-posts

AKHLAK AL-QURAN BENTENG SEGALA MASALAH SOSIAL

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mad Daud

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 24 Februari- Pembentukan akhlak al-Quran di dalam diri manusia, keluarga, masyarakat, negeri dan negara menjadi benteng ampuh untuk membendung segala masalah sosial yang berlaku.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mad Daud berkata mengamalkan akhlak al-Quran dalam kehidupan samada dalam keluarga, masyarakat, negeri dan negara menjadi benteng utama dalam usaha menangani masalah sosial yang berlaku hari ini.

Menurutnya, akhlak al-Quran ialah beramal dengan Al-Quran, berakhlak dengan akhlak yang dinyatakan oleh al-Quran, mengambil pengajaran daripada pemisalan dan kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran serta memperindahkan bacaan ayat-ayat al-Quran.

"Itulah akhlak al-Quran. Sekiranya sesebuah masyarakat melaksanakanya dalam kehidupan mereka, maka Allah SWT akan memberkati, memberi taufik dan inayahNya kepada masyarakat tersebut.

"Inilah kemuliaan al-Quran yang mesti dijunjung oleh seluruh umat Islam pada hari ini dan menjadikanya sebagai keutamaan dan berusaha untuk membentuk akhlak al-Quran dalam diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara."

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 1446H bersamaan 2025M di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji Kota Bharu pada Ahad.

Menyentuh tentang penubuhan Pusat Tarannum yang bermula pada 26 Jun 2024, YB Mohd Asri berkata penubuhan Pusat Tarannum tersebut bertujuan untuk melahirkan pelapis qari dan qariah dan mereka yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk mempelajari ilmu al-Quran.

"Kerajaan negeri membuka peluang ini kepada seluruh anak-anak Negeri Kelantan untuk sama-sama memperhebatkan Pusat Tarannum al-Quran ini. Diharapkan Pusat Tarannum ini tidak hanya di Balai Islam sahaja tetapi diperluaskan di jajahan masing-masing," katanya.

Tambah beliau lagi, sejak ditubuhkan pada tahun lalu, Pusat Tarannum ini mempunyai lima orang tenaga pengajar yang terdiri daripada bekas johan qari dan qariah peringkat antarabangsa. Mereka ialah Ustaz Che Yahya Daud, Ustaz Mohd Husin Yunus, Dato' Faridah Mat Saman dan Syeikh Hisyam.

"Pengambilan pertama pelajar Pusat Tarannum ini melibatkan 50 pelajar. 18 orang daripadanya merupakan pelajar yang telah melalui proses saringan dan benar-benar mempunyai kelayakan sebagai qari dan qariah," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments