Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memandang serius isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan sebarang bentuk penderaan, eksploitasi serta jenayah seksual tidak boleh dikompromi sama sekali.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato' Rohani Ibrahim berkata, keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak merupakan amanah bersama yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak.
Katanya, jenayah seksual terhadap kanak-kanak merupakan cabaran sosial yang berlaku di seluruh negara dan tidak wajar dijadikan bahan untuk menyalahkan mana-mana pihak atau kerajaan negeri secara khusus.
"Isu ini perlu ditangani secara matang, bertanggungjawab dan konsisten melalui usaha pencegahan, pendidikan serta penguatkuasaan undang-undang yang berkesan," katanya pada kenyataan semalam.
Menurut beliau, Kerajaan Kelantan melaksanakan pelbagai dasar dan program berteraskan syariat Islam bagi melindungi golongan kanak-kanak termasuk Dasar Kanak-Kanak Fitrah yang diperkenalkan sejak 2018.
Katanya, melalui Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKEKWA), pelbagai inisiatif advokasi hak kanak-kanak, pemerkasaan institusi keluarga serta program kesedaran masyarakat terus dilaksanakan.
Beliau turut menegaskan pendekatan kerajaan negeri bukan sekadar menghukum, sebaliknya memberi penekanan kepada aspek pencegahan awal, pendidikan masyarakat dan literasi undang-undang bagi membendung jenayah seksual termasuk yang berlaku atas talian.
Rohani menyeru masyarakat memainkan peranan sebagai mata dan telinga bagi melindungi kanak-kanak dan tampil membuat laporan serta tidak berdiam diri terhadap sebarang bentuk keganasan dan eksploitasi.
"Maruah dan keselamatan kanak-kanak adalah garis merah yang tidak boleh dikompromi. Semua pihak perlu berganding bahu memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan dan pembelaan sewajarnya," katanya.
Beliau turut menegaskan rumah dan keluarga perlu menjadi tempat paling selamat untuk kanak-kanak serta benteng utama dalam membentuk generasi yang sejahtera.

0 Comments