Ticker

6/recent/ticker-posts

JETI PELANCONGAN TOK BALI BAKAL DIBUKA KEPADA AWAM SELEPAS AILDILFITRI

Oleh: Asri Hamat 

PASIR PUTEH, 25 Februari- Kerajaan Negeri Kelantan telah membuka satu dimensi pelancongan baharu di kawasan Tok Bali apabila meluluskan pengurusan Jeti Pelancongan Tok Bali secara kolaborasi antara Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan Syarikat Nasrom Travel & Tour Sendirian Berhad.

Yang Dipertua MDPP, Mohd Roshdi Ismail berkata, dengan kelulusan ini, pihak MDPP dan Nasrom Travel & Tour Sdn Bhd akan membuat permohonan kepada pihak yang berwajib bagi mengadakan pelayaran singkat menyusuri sungai dan terusan Semerak kepada orang ramai.

"Insya-Allah sekiranya tidak ada halangan yang melintang, selepas hari raya Aidilfitri nanti orang ramai serta pelancong dapat merasai pengalaman menaiki bot di jeti ini untuk menyusur sungai dan terusan Semerak yang menyajikan pemandangan alam semulajadi yang memukau dan mempersonakan terutama di waktu senja.

"Jeti ini juga akan digunakan sebagai salah satu jalan alternatif bagi pelancong untuk ke Pulau Perhentian."

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Jeti Pelancongan Tok Bali, sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri Kelantan, di Jeti Pelancongan Tok Bali, Pasir Puteh, pada Isnin.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga telah menyediakan landskap tambahan di tebing sungai Semerak serta menyediakan lampu hiasan bagi mewujudkan suasana riang, tenang dan selamat bagi mereka yang berkunjung di sebelah malam.

"Selain itu beberapa kemudahan lain seperti surau, tandas awam, wakaf istirehat untuk bersantai, kedai makan, pasar ikan yang menawarkan ikan segar serta pasar raya turut disediakan di kawasan jeti ini bagi kemudahan pengunjung,” ujarnya.

Menurut beliau juga, banyak lagi perancangan oleh kerajaan negeri untuk menambah kelengkapan dan kemudahan pelancongan di kawasan ini.

"Buat masa ini, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan sedang menguruskan tender untuk pembinaan sebuah lagi jeti pelancongan di kawasan ini yang boleh digunakan oleh pelancong untuk bergambar dan berekreasi.

"Manakala pihak Plan Malaysia Negeri Kelantan pula sedang merangka pelan pembangunan taman rekreasi di atas tanah Pesuruhjaya Tanah Kelantan di kawasan Tok Bali ini”, jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasrom Travel & Tour, Dato' Mohd Khairey Saudi berkeyakinan bahawa kewujudan jeti pelancongan tersebut akan dapat meningkatkan ekonomi Tok Bali dan penduduk setempat.

"Dengan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan penglibatan semua pihak, projek jeti pelancongan ini dijangka akan membawa kesan yang positif serta memperkukuhkan kedudukan Tok Bali sebagai bandar maritim serta menjadi pintu masuk utama pelancongan laut di Kelantan, sekaligus dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat," katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Post a Comment

0 Comments