Oleh: Asri Hamat
PASIR PUTEH, 25 Februari- Seiring dengan pelancaran Indahnya Kelantan 2025, Tok Bali dapat diangkat menjadi destinasi pelancongan utama di Pantai Timur, kata YAB Menteri Besar, Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata, melalui kepesatan pembangunan yang sedang dilaksanakan dan keindahan alam semula jadi serta pembukaan jeti pelancongan mampu mengangkat Tok Bali menjadi destinasi pelancongan utama di Pantai Timur.
"Oleh itu, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat sangat diperlukan bagi memastikan hasrat untuk merancakkan industri pelancongan di Tok Bali dapat direalisasikan.
"Perasmian pembukaan jeti pelancongan Tok Bali juga diharap menjadi mercu tanda baharu sektor pelancongan di sini tanpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan, sekaligus dapat memacu ekonomi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat".
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jeti Pelancongan Tok Bali sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia, peringkat Negeri Kelantan, di Jeti Pelancongan Tok Bali, Pasir Puteh, pada Isnin.
YAB Menteri Besar turut menyeru kepada pengusaha pelancongan dan masyarakat agar mengamalkan konsep pelancongan mampan yang mana pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar berjalan seiring.
"Pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar mesti berjalan seiring untuk manfaat jangka panjang. Ini menjadi tanggungjawab bersama semua masyarakat bagi memastikan keindahan alam dapat dikekalkan dan dijaga sebaik mungkin", ujarnya.
Beliau juga meminta agar semua pihak sentiasa menjaga kebersihan sungai untuk kesejahteraan bersama.
"Tanggungjawab untuk memulihara sungai bukan tugas individu tetapi ia merupakan agenda bersama. Oleh itu, kesedaran dan pendidikan tentang kepentingan sungai perlu dipupuk sejak kecil lagi dan diperhebatkan melalui kempen-kempen yang menarik dan kreatif.
"Intitusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu berganding bahu dalam menggerakkan kempen-kempen kesedaran yang berterusan serta mengadakan amalan gotong royong untuk menjaga kebersihan sungai. Hasilnya akan dapat dirasai bersama dari sudut keindahan alam dan peningkatan sosio ekonomi.
"Sikap suka membuang sampah ke dalam sungai akan memberi kesan yang besar terhadap kelestarian alam. Jadi saya menyeru semua pihak untuk sama-sama memainkan peranan dalam menjaga kebersihan sungai demi kesejahteraan bersama", ujarnya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato' Kaya Setia, Dato' Nazran Muhammad, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri, YBM Tengku Kaya Perkasa, Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feisal, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN), Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh, Mohd Roshdi Ismail, ketua-ketua jajahan dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
0 Comments