Ticker

6/recent/ticker-posts

Kedai Nasi Berlauk Kak Chik terima sijil halal


SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT: Kedai Nasi Berlauk Kak Chik di Kampung Berangan satu-satunya kedai nasi bungkus atau berlauk pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan sijil halal.

Sijil Pengesahan Halal Malaysia itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd Asri Mat Daud di kedai nasi berkenaan hari ini.

Mohd Asri berkata,  kejayaan itu diharap menjadi motivasi kepada pengusaha kedai makan lain untuk mendapatkan sijil halal.

“Kerajaan negeri memberi sokongan dalam isu pensijilan halal, sekaligus meningkatkan kesedaran pengusaha terhadap kepentingan halal dalam perniagaan makanan,” katanya kepada media.



Kata beliau juga bagi memperkukuh pembangunan industri halal, kerajaan negeri akan menubuh Majlis Pembangunan Halal Peringkat Negeri  yang akan diselaraskan dengan persekutuan.

Menurutnya Kelantan mempunyai tapak Halal Hub di Pasir Mas, yang boleh dipertingkatkan sebagai daya tarikan pelaburan halal ke negeri tersebut. 

“Matlamat kita bukan sekadar pasaran tempatan, tetapi juga ke peringkat antarabangsa. Contohnya, Nasi Berlauk Kak Chik kini menembusi pasaran Singapura dan berpotensi ke Eropah di masa depan,” tambahnya.

Menyentuh tentang permohonan sijil halal, Asri berkata, setakat Februari ini, sebanyak 460 permohonan sijil halal diterima termasuk 48 daripada pengusaha bukan Islam. 

Tambahnya, permohonan dijangka terus meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang memandangkan kesedaran pengusaha makanan berhubung sijil halal makin bertambah.

"Kerajaan negeri melalui Bahagian Pengurusan Halal Jaheaik juga akan terus memberi taklimat dan penerangan kepada pemohon.



"Perkara ini penting bagi memastikan lebih ramai pengusaha menyedari kepentingan pensijilan halal dalam meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk mereka," katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan dan Pengarah Jabatan Hal  Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Dr Hasnan Ramli.

Post a Comment

0 Comments