![]() |
Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 24 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen untuk memasyarakatkan ajaran al-Quran dalam pentadbiran dengan menjadikan Dasar Membangun Bersama Islam sebagai teras utama dalam mengemudi negeri.
Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata asas yang kukuh tersebut telah diterjemah melalui pelbagai inisiatif, termasuk menerapkan pendidikan al-Quran dalam pembangunan rakyat.
“Kerajaan Negeri Kelantan membangunkan rakyat dengan memperkukuh pendidikan al-Quran melalui penubuhan sekolah-sekolah tahfiz, pengukuhan institusi pendidikan serta penerapan konsep Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan (UMI) sebagai budaya kerja dalam pentadbiran.
“Selain itu, penggubalan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) turut memperkukuhkan usaha melahirkan generasi yang berakhlak mulia serta memahami tuntutan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Penghayatan terhadap al-Quran juga diterjemahkan dalam sistem pentadbiran negeri melalui penggubalan dan pelaksanaan undang-undang serta garis panduan yang bertujuan menjaga kesejahteraan rakyat agar tidak terjerumus ke lembah kemurkaan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 1446H/2025M di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, semalam.
Mengulas mengenai penganjuran majlis tilawah dan hafazan al-Quran yang bertemakan Al-Quran Membentuk Akhlak Mulia, beliau menjelaskan bahawa program itu untuk memperindah bacaan al-Quran bahkan lebih penting untuk mengangkat tuntutan al-Quran dengan penghayatan dan tadabbur mendalam terhadap kandungannya.
“Melalui penganjuran majlis tilawah dan hafazan al-Quran yang telah diadakan sekian lama, kita dapat menyaksikan impak positif terhadap masyarakat.
"Secara tidak langsung, ia menggalakkan lebih ramai untuk mendalami ilmu al-Quran, bermula dengan hafazan yang baik sehingga mampu memperelok bacaan serta memahami ayat-ayat yang dibaca,” jelasnya.
Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Negeri Kelantan tahun ini berlangsung dari 23 hingga 26 Februari 2025, dengan penyertaan lapan qari, tujuh qariah serta 25 hafiz dan hafizah yang telah melepasi saringan awal.
Pada malam pertama pertandingan, dua peserta, Muhammad Anwar Abdullah dan Zumirah AB Rahman, telah memperdengarkan bacaan masing-masing.
Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V pada 26 Februari.
Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan YB Dato’ Idham Abdul Ghani, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam AB Rahman, Ahli-ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN), Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB Sahibul Samahah Dato’ Kaya Perba Dato’ Mohamad Shukri Mohamed, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Dr Hasnan Ramli serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
0 Comments