Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 26 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan terus mengamalkan politik matang dan sejahtera demi kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
Bagi merealisasikan aspirasi itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud bersama Setiausaha Kerajaan Negeri YB Dato' Kaya Setia Dato' Nazran Muhammad mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Perdana Menteri YAB Dato' Sri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Kunjungan itu bertujuan menyampaikan hasrat serta suara rakyat Kelantan di samping memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar memaklumkan bahawa beberapa projek berkepentingan tinggi untuk rakyat Kelantan dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
"Beberapa projek berimpak tinggi telah dibentangkan, termasuk isu sempadan, tebatan banjir, infrastruktur jalan serta bekalan air.
"Alhamdulillah, apa yang saya suarakan mendapat respons yang sangat positif daripada YAB Perdana Menteri. Insya Allah, Kelantan akan terus membangun demi kesejahteraan rakyat," katanya menerusi media sosial pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesudian meluangkan masa menyambut kunjungan kepimpinan Kelantan.
0 Comments